PETALING JAYA: Proses mendapatkan lesen memandu yang dianggap rumit, panjang dan berbelit selain kos yuran mencecah ribuan ringgit dikenal pasti antara punca masih ramai individu di negara ini memandu tanpa lesen sah, meskipun ada yang berkemampuan.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, sistem sedia ada terlalu membebankan hingga mendorong orang ramai memilih jalan pintas, khususnya mereka yang sudah pandai memandu.
Beliau berkata, calon perlu hadir kelas, tunggu giliran ujian berminggu-minggu, kemudian bayar kos sehingga RM2,000 untuk lesen kereta dan keadaan itu menekan golongan berpendapatan rendah atau pelajar yang tidak mampu menanggung yuran terbabit
“Bagaimanapun, ada juga individu berusia 40-an yang sebenarnya mampu tetapi enggan mengambil lesen kerana malas, takut gagal ujian atau sambil lewa terhadap kepentingan memiliki lesen sah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 917,350 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemandu tanpa lesen sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2023.
Selain itu, sebanyak 16,628 saman dikeluarkan kepada ibu bapa atau penjaga yang membiar atau membenarkan anak atau pemandu bawah umur memandu tanpa lesen di jalan raya.
Jumlah saman tidak mempunyai lesen yang banyak menunjukkan masih ramai rakyat di negara ini memandang ringan mengenai betapa pentingnya mempunyai lesen memandu yang sah selain mematuhi undang-undang jalan raya.
Teik Hua berkata, kurang kesedaran tentang risiko kemalangan dan sikap ambil mudah kerana percaya tidak ditangkap sehingga merasakan sudah lama memandu tanpa lesen, turut menjadi faktor penyumbang kepada jumlah saman terbabit.
“Mereka anggap mereka sudah mahir memandu jadi tiada keperluan mengambil lesen dengan latihan formal penting terutamanya ketika kecemasan,” katanya.
Penguatkuasaan yang tidak konsisten turut menggalakkan keadaan itu kerana pemeriksaan lesen tidak dijalankan secara berterusan, manakala hukuman denda dianggap ringan dan mampu dibayar, dengan hukuman penjara jarang dilaksanakan.
“Golongan remaja mudah terpengaruh dengan rakan yang memandu tanpa lesen sehingga mereka terikut dengan tingkah laku terbabit agar diterima dalam sesuatu kelompok yang percaya ia lambang ‘kebebasan’.
“Sikap ibu bapa juga memainkan peranan penting kerana ada yang membiarkan anak memandu tanpa lesen atas alasan kecemasan untuk membantu keluarga.
“Malah ada memberikan kenderaan tanpa memastikan anak ada lesen sah bagi memudahkan mereka untuk urusan peribadi dan ini menyumbang kepada normalisasi tanpa lesen dalam kalangan remaja,” katanya.
Mengatasi masalah ini, Teik Hua mencadangkan inisiatif seperti subsidi atau pembiayaan lesen B40, diskaun khas pelajar dan skim bayaran ansuran.
Proses ujian perlu dipermudahkan tanpa birokrasi, tempoh menunggu dipendekkan, manakala program kesedaran diperluaskan di sekolah dan universiti.
Insentif seperti diskaun insurans untuk pemandu berlesen boleh menjadi galakan kerana lesen bukan sekadar syarat undang-undang, tetapi latihan formal penting untuk melahirkan pemandu berdisiplin dan peka terhadap keselamatan jalan raya. – UTUSAN










