PRN Sabah: GRS masih mendahului- Ilham Centre

PRN Sabah: GRS masih mendahului- Ilham Centre

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang menjadi penentu sama ada negeri ini terus berada lingkaran tidak produktif atau bangkit sebagai negeri contoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kajian awal pra-pilihan raya oleh Ilham Centre sepanjang Jun lalu mendapati Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berada di hadapan berbanding parti-parti lain, dengan kelebihan sebagai penyandang Kerajaan Negeri Sabah.

Berdasarkan dapatan kajian, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, dua faktor utama mengukuhkan kedudukan GRS iaitu penguasaan sebagai parti pemerintah yang mempunyai akses sumber serta faktor personaliti calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di Sabah, politiknya agak unik. Walaupun ada isu rentas negeri seperti rasuah atau infrastruktur, pengundi lebih menilai calon di kawasan masing-masing. Faktor personaliti dan prestasi penyandang menjadi dominan dalam membentuk sokongan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Selain itu, kajian turut mendapati sokongan terhadap parti lain lebih terarah mengikut kawasan, dimana Parti Warisan (Warisan) masih mempunyai pengaruh di kawasan Pantai Timur seperti Tawau dan Kalabakan, tetapi sukar menembusi kawasan Kadazan, Dusun, Murut (KDMR).

“Bagi Pakatan Harapan pula, kekal dengan sokongan di kawasan bandar utama termasuk Sandakan dan Kota Kinabalu. Bagi PBS dan STAR dilihat lebih kukuh di kawasan KDMR.

“Begitu juga, parti KDM yang diasaskan Datuk Peter Anthony pula mula mendapat perhatian, khususnya dengan gerakan pemimpin seperti ADUN Datuk Wetrom Bahanda,” katanya.

Hisomudin turut berkata, dalam hal ini, UMNO Barisan Nasional (BN) dilihat agak bergelut selepas berdepan isu lompat parti dan kesukaran menarik sokongan pengundi muda.

Kajian juga menekankan bahawa segmen pengundi muda merangkumi mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun merupakan faktor penentu.

Kaanya, di beberapa kawasan DUN, kelompok ini mencecah sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

“Segmen muda adalah kelompok atas pagar yang besar. Gagal mengurus atau meyakinkan mereka boleh membawa risiko besar kepada mana-mana parti atau calon untuk melepasi garis kemenangan,” katanya.

Bagaimanapun, kajian tersebut dijalankan sebelum isu tertentu memuncak di Sabah khususnya calon dan prestasi penyandang, kekal menjadi penentu utama sokongan pengundi menjelang pilihan raya negeri akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN