IPOH: Parti Progresif Rakyat (PPP) menyatakan kesetiaan untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN) tatkala ada parti komponen gabungan itu dilihat seperti mengacah mahu meninggalkan BN.
Presiden PPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, partinya akan mengekalkan dasar tersebut setelah bersama BN sejak 50 tahun.
Jelasnya, sokongan kepada BN bukan semata-mata mengharapkan pulangan atau meninggalkan gabungan itu jika tidak mencapai apa yang dikehendaki.
“Kalau kita hendak masuk meminang, takkan kita hendak tanya apa yang saya dapat. Kita tidak akan berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen PPP negeri Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa komponen BN seperti MIC dan MCA yang dilihat mula bersuara tentang nasib mereka di dalam gabungan itu terutama selepas BN membentuk kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan meminta MIC memberi penjelasan secara bertulis berhubung tindakan menghantar wakil ke Perhimpunan Agung Tahunan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Shah Alam semalam.
Loga Bala berkata, jika partinya gemar mengubah pendirian apabila berdepan kesukaran, sikap konsisten dalam perjuangan politik sukar untuk dikekalkan.
Sementara itu semasa berucap kepada ahli parti, beliau melaungkan bahawa PPP tidak akan meninggalkan BN namun tetap bersuara untuk sebarang isu kepentingan rakyat. – UTUSAN