Polis siasat kenderaan 4WD pasukan tiada lampu

Polis siasat kenderaan 4WD pasukan tiada lampu

KENDERAAN polis yang tular di media sosial melakukan dua kesalahan trafik termasuk lampu brek rosak di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menyiasat sebuah kenderaan pacuan empat roda pasukan itu yang mengalami kerosakan lampu brek dan membawa muatan tidak mengikut syarat ketika melalui kawasan lampu isyarat Bunga Tanjung di sini, setelah tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.05 tengah malam semalam di jalan susur keluar Jalan Dato’ Wan Mohammad Saman menghala ke Jalan Pegawai, di sini.

“Kenderaan milik Balai Polis Kepala Batas itu membawa muatan peralatan sekatan jalan raya (SJR) ketika dirakam. Kes ini disiasat mengikut Kaedah 92, LN 170/59 kerana membawa muatan tidak mematuhi peraturan dan Kaedah 26(2), LN 170/59 kerana lampu brek tidak mengikut spesifikasi.

“Kesalahan tersebut boleh dikenakan kompaun masing-masing maksimum RM300 dan RM100,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, polis sentiasa telus dan bersedia mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pegawai, anggota mahupun orang awam yang melanggar undang-undang serta peraturan jalan raya.

Justeru itu, orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil memberikan keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Lukmanul Hakim Mohd. Fauzi di talian 013-9964614 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam video berdurasi 13 saat memaparkan sebuah pikap jenis Toyota Hilux yang tertera perkataan Polis Kepala Batas membawa muatan SJR dengan lampu sebelah kiri tidak berfungsi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×