Polis Perak perkukuh kawalan keselamatan Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Polis Perak perkukuh kawalan keselamatan Sultan Nazrin

NOOR Hisam Nordin (belakang, tengah) bersama warga polis dalam Program Terpaling Pahlawan Menara Condong Unity Challenge 2025 di Padang Speedy, Teluk Intan hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis Perak memperkukuhkan kawalan pengiring rapat kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melalui siri latihan intensif dan penstrukturan semula barisan petugas keselamatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, langkah itu bertujuan menambah baik kawalan keselamatan ke atas Sultan Nazrin sekali gus memastikan insiden tidak diingini tidak berulang.

“Di pihak Kontinjen Perak, kita telah buat dan sedang merancang beberapa siri latihan untuk memperkemaskan kawalan keselamatan ke atas Sultan Nazrin dengan penglibatan Unit Tindakan Khas (UTK) yang turut menguatkan barisan pengiring sedia ada.

“Pada peringkat ini, kita sedang mengenal pasti individu yang perlu ditambah baik atau diganti selain melaksanakan proses pengambilan baharu untuk pengiring rapat baginda,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Terpaling Pahlawan Menara Condong Unity Challenge 2025 di Padang Speedy, di sini hari ini.

Menurut beliau, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan tahap keselamatan Sultan Nazrin sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 31 Ogos lalu dikejutkan dengan kejadian seorang wanita menceroboh naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin.

Wanita itu pada awalnya dilihat masuk melalui bahagian tepi pentas utama dan berdiri di barisan belakang sebelum dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8.20 pagi itu bagaimanapun berjaya dihentikan pasukan keselamatan yang bertindak pantas menahan suspek. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN