Polis Marin tumpaskan kegiatan pindah minyak sawit secara haram - Utusan Malaysia

Polis Marin tumpaskan kegiatan pindah minyak sawit secara haram

ANTARA kenderaan dan barangan memindahkan minyak sawit untuk pasaran gelap yang dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel di Sitiawan, semalam. - IHSAN PPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan kegiatan pemindahan minyak sawit untuk pasaran gelap dalam serbuan di sebuah bengkel di Sitiawan semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 1 tengah hari itu, pasukan tersebut turut menahan dua lelaki iaitu pemandu lori berusia 43 tahun dan penjaga bengkel berusia 54 tahun di lokasi serbuan.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan menerusi Op Taring Landai itu dilakukan oleh Unit Risikan Marin (URM) PPM Kampung Acheh, Sitiawan.

“Dalam serbuan itu, pasukan tersebut menemui sebuah lori tangki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemindahan minyak isirung sawit mentah ke lori kanvas untuk tujuan penjualan secara tidak sah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mengaku melakukan transaksi jual beli minyak sawit tanpa kebenaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas minyak sawit mentah seberat 40 tan dianggarkan RM318,120 dan kandungan minyak sawit terpakai 800 kilogram bernilai RM4,000.

Beliau berkata, turut dirampas ialah lori tangki jenama Renault, lori kanvas jenama Nissan, lima tong isian 1,000 liter serta pam minyak dan hos dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM775,620.

Semua rampasan dibawa ke Pejabat PPM Wilayah Satu Kampung Acheh untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat di bawah Akta MPOB 1998. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN