SEPANG: Polis menyeru orang awam yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat pengecaman susulan penemuan mayat reput seorang wanita yang ditemukan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri kira-kira pukul 7.50 malam, 1 September lalu berdekatan kawasan Limo, KLIA.
“Ketika ditemukan, mayat masih berpakaian lengkap iaitu memakai baju-T putih jenama Drum bersaiz XS bertulis “Fear Less” serta seluar kargo pendek berwarna krim bersaiz L.
“Mayat juga sudah mereput dengan bahagian kepala tidak sempurna dan hanya tinggal tengkorak. Berdasarkan keadaan fizikal, si mati disyaki telah meninggal dunia lebih kurang seminggu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang menemukan empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
Azman berkata, kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
“Sehubungan itu, polis meminta ahli keluarga yang kehilangan wanita dengan ciri-ciri seperti dinyatakan atau orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
“Waris mangsa boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Deputi Superintendan Tee Ah Chew di talian 018-2183555 atau mana-mana balai polis terdekat,” katanya. – UTUSAN