PM berlepas ke Timor Leste untuk lawatan rasmi

PM berlepas ke Timor Leste untuk lawatan rasmi

ANWAR Ibrahim berlepas daripada Pangkalan Udara TUDM Subang untuk memulakan lawatan rasmi ke Republik Demokratik Timor Leste. FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri hari ini berlepas ke Republik Demokratik Timor-Leste bagi mengadakan lawatan rasmi atas jemputan rakan sejawatannya, Kay Rala Xanana Gusmão yang juga Perdana Menteri negara itu.

Katanya, lawatan tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala selain menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN.

“Lawatan rasmi ini penting untuk memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal anggota ke-11 ASEAN.

“Moga segala perancangan dan agenda yang diatur dipermudahkan dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya dalam media sosial di Facebook, hari ini.

Lawatan tersebut turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia dalam memperkukuh jaringan diplomasi serantau seiring dengan dasar Malaysia Madani.

Dalam pada itu, Anwar turut dijadual menghadiri beberapa acara penting termasuk pertemuan dengan Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta, dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Beliau juga akan menyampaikan ucapan di Parlimen Nasional Timor-Leste serta menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara institusi kewangan Malaysia dan Banco Central de Timor-Leste dalam bidang pembangunan profesional dan pendidikan insurans.

Malaysia sebelum ini menyalurkan pelbagai bantuan kepada Timor-Leste, antaranya sumbangan USD200,000 untuk penubuhan Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN serta pembiayaan RM4.1 juta bagi 12 program latihan berkaitan ASEAN.

Sehingga kini, lebih 1,100 warga Timor-Leste mengikuti pelbagai program latihan di Malaysia, manakala 55 pelajar sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi negara.

Kerjasama ekonomi turut berkembang dengan nilai dagangan dua hala mencecah USD6.65 juta dari Januari hingga Julai 2025.
Penerbangan terus Kuala Lumpur-Dili yang dimulakan Batik Air pada Jun lalu serta kemudahan lawatan sosial tanpa visa 30 hari kepada rakyat Malaysia sejak Ogos dijangka merancakkan lagi hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Lawatan rasmi ini dijadual berakhir pada esok dengan Anwar menerima anugerah Grand Collar of the Order of Timor-Leste sebagai tanda penghormatan, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN