KUALA LUMPUR: “Yang lepas biar berlalu. Sekarang buka buku baru.”
Demikian jawapan penyanyi dan pelakon, Rezza Shah, mengenai isu dengan bekas pengurusnya yang mencuri perhatian netizen sebelum ini.
Kata anak kelahiran Kuching, Sarawak dia memilih untuk tidak memanjang-manjang isu tersebut dan hanya mahu meneruskan kerjaya seperti sedia kala.
“Isu antara saya dengan dia sudah selesai. Saya tidak mahu memanjangkannya lagi.
“Kami pun sudah tidak lagi berhubung, bawa hala tuju masing-masing.
“Kalau ditakdirkan terjumpa dengannya di mana-mana, saya tak ada masalah. Cuma untuk kami bekerjasama lagi, tidaklah.
“Saya kini diuruskan pengurus baharu. Kami bergerak secara profesional dan lebih matang,” kongsinya.
Rezza sebelum ini tampil membuat pendedahan mengenai sikap tidak profesional bekas pengurusnya, yang antara lain melakukan gangguan seksual terhadap penyanyi itu.
Mengulas lanjut, Rezza atau Muhammad Shahrezza Abu Samah mengakui melakukan khilaf sehingga membuka aib individu tersebut.
“Ketika itu saya terlalu ikutkan perasaan marah. Saya tak mampu kawal perasaan.
“Saya mohon maaf sekiranya tindakan saya itu telah membuka aibnya.
“Selepas isu tersebut, saya lebih berhati-hati. Fikir dahulu sebelum membuat kenyataan,” kongsinya-UTUSAN