KUALA LUMPUR: Proses mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dianggap mengambil masa panjang berpunca daripada lonjakan mendadak jumlah calon, terutama pada musim puncak seperti cuti sekolah dan cuti semester.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kebiasaan ini berlaku apabila lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mendaftar secara serentak di institut memandu, khususnya di bandar-bandar besar.
Katanya, permintaan lesen motosikal dan motokar meningkat 20 hingga 25 peratus pada musim puncak. Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, purata calon bertambah kira-kira 2,000 orang berbanding bulan biasa.
“Kebanyakan kes berlaku di kawasan bandar dan penempatan padat. Situasi ini menyebabkan jadual ujian serta latihan lebih sesak sekali gus melambatkan calon menyempurnakan pengajian memandu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut beliau, kelewatan turut berpunca daripada sikap calon yang tidak patuh jadual sedia ada kerana lebih mengutamakan keselesaan peribadi.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan proses pelesenan dianggap rumit, panjang dan mahal hingga mencecah ribuan ringgit, sekali gus mendorong ramai memilih untuk memandu tanpa lesen walaupun berkemampuan.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, sistem sedia ada terlalu membebankan hingga mendorong orang ramai memilih jalan pintas, khususnya mereka yang sudah pandai memandu.
Mengulas mengenai kos yang tinggi, Aedy Fadly berkata, tempoh jam latihan bagi mendapatkan LMM hanya 22 jam tidak termasuk praujian dan pengujian, sejajar dengan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang merangkumi KPP01, KPP02 dan K PP03, namun kosnya berbeza mengikut institut memandu (IM).
“JPJ telah menetapkan harga siling yuran melalui arahan Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu (JKPIM) sejak 19 Mac 2018. Malah sebagai langkah penyelesaian, JPJ telah melaksanakan integrasi modul KPP01 bagi motosikal dan motokar, sekali gus menjimatkan kos serta memendekkan tempoh pembelajaran.
“JPJ juga memperkenalkan Program Khas Peralihan Lesen Kelas B2/B1 kepada Kelas B untuk memudahkan calon terus memiliki lesen lebih tinggi tanpa perlu melalui peringkat berlapis,” katanya.
Sebelum ini juga, Utusan Malaysia turut melaporkan Semalam melaporkan sebanyak 917,350 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada memandu tanpa lesen sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2023.
Menyedari kebimbangan tersebut, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof. Madya Ts Dr. Siti Zaharah Ishak turut berkata, kajian pihaknya yang melibatkan 600 responden mendapati bahawa 73.7 peratus mengaku pernah menunggang motosikal tanpa lesen sah, manakala 26.3 peratus pernah memandu kereta tanpa lesen yang sah.
Malah, separuh daripada responden mengakui melakukannya lebih daripada sekali seminggu, dengan 58 peratus menggunakan kenderaan milik ibu bapa. – UTUSAN











