TANJUNG MALIM: Kerajaan negeri Perak serius untuk mengharamkan atau melarang penjualan vape secara terbuka bagi membendung implikasi kesihatan kepada rakyat terutamanya melibatkan generasi muda.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, kertas polisi larangan itu akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Isnin depan.
Menurutnya, polisi itu memfokuskan kepada sekatan pengeluaran lesen penjualan vape yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita hanya haramkan tempat menjual rokok ini sebab lesen dikeluarkan oleh PBT jadi itu ialah dibawah bidang kuasa. Secara peribadi saya harap ia diluluskan.
“Jangan bagi lesen, jadi dia (penjual vape) tidak boleh jual dan boleh ambil tindakan terhadapnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Ahli Lembaga Pelawat Hospital Bersama Komuniti Daerah Muallim sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Hospital Slim River (HSR) di sini hari ini.
Sivanesan berharap polisi itu dapat dilaksanakan supaya negeri ini yang kelima mengambil langkah mengharamkan penjualan vape selepas empat negeri lain telah melaksanakan tindakan sama.
Katanya, langkah itu bukan bersifat melulu tetapi bertujuan melindungi kesihatan masyarakat daripada ancaman penyakit menerusi penggunaan vape. – UTUSAN