IPOH: Kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2) sebelum ini diharap tidak membuatkan Perak leka apabila bertemu Kelantan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026 di Kompleks bola Sepak Perak di Chepor di sini esok.
Penolong Pengurus Perak FA, Zainal Anuar sebaliknya berharap pemain pasukan Kejor Yob Kejor meneruskan momentum kemenangan mereka.
“Kemenangan ke atas JDT 2 sebelum ini menyemarak semangat pasukan tetapi diharap pemain tidak cepat lupa diri.
“Perak belum menang apa-apa lagi. Jadi saya berharap pemain fokus terhadap tugasan,” kata Zainal.
Pada 21 September lalu, Perak menang 2-1 ke atas JDT 2 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di Johor.
Perak ketika ini menduduki kedudukan ketiga liga di belakang ATM dan KFA dengan mengutip 10 mata.
Jika menang esok, ia bakal melonjak kembali skuad bimbingan Syamsol Saad ke tangga kedua liga.
Justeru Zainal mengingatkan pemain supaya tidak menganggap mudah perlawanan keenam mereka esok.
“Jangan ambil mudah kerana setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya berharap pemain memberikan tumpuan dan kekalkan momentum kemenangan.
“Mereka perlu bermain mengikut perancangan jurulatih. Jangan leka dengan kemenangan yang lepas,” tambahnya. – UTUSAN