BUTTERWORTH: Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu pelanggannya dengan membuat laporan polis palsu berhubung satu kejadian samun pada 17 September lalu.
Tertuduh, Le Chong Seng, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan curangnya memperdaya pelanggan, Teh Hock Kheng, 41, apabila mendakwa dirinya disamun sedangkan tiada kejadian itu berlaku. Laporan polis yang dibuatnya disifatkan sebagai rekaan semata-mata.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kampung Gajah kira-kira pukul 3.27 petang, 17 September lalu. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli mengendalikan pendakwaan dan menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela, C. Hari Prassad Rao merayu jaminan minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga selain menghidap penyakit kencing manis kronik.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki termasuk seorang jurujual kereta direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes samun di Jalan Kampung Gajah, pada tarikh sama.
Jurujual terbabit dilaporkan membuat laporan polis mendakwa disamun dua penunggang motosikal sehingga kerugian lebih RM60,000.
Namun, hasil siasatan lanjut selepas penahanan dua lelaki di Sungai Petani, Kedah semalam membongkar bahawa pengadu sendiri mengupah mereka dengan bayaran RM3,000 untuk melaksanakan samun tersebut. – UTUSAN










