Pengguna serbu pasar raya

Pengguna serbu pasar raya

ORANG ramai beratur di kaunter bayaran SARA di sebuah premis pada hari pertama penggunaan sumbangan secara sekali beri itu boleh ditebus di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Orang ramai di seluruh negara mula mengunjungi pasar raya terpilih untuk membeli pelbagai barangan keperluan sebaik sahaja Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 boleh ditebus mulai semalam.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Taman Kelisa Ria di sini mendapati, orang ramai mula memenuhi premis berkenaan sebaik operasi dimulakan pukul 9 pagi bagi membeli 14 kate­gori produk terpilih.

Suri rumah, Nurhayati Zainol, 55, berkata, dia mengunjungi sebuah pasar raya di Taman Kelisa Jaya, seawal mungkin bagi mengelak kesesakan di kaunter bayaran.

“Pemberian RM100 melalui SARA ini cukup besar buat saya sebagai tambahan kepada sumbangan MyKasih yang diterima setiap bulan selama ini.

“Hanya ucapan syukur yang dapat dizahirkan kepada kerajaan kerana melaluinya saya dapat membeli pelbagai bara­ngan keperluan untuk digunakan keluarga,” katanya ketika ditemui.

Bagi Sarvan Singh, 58, yang tinggal di Amanjaya, Sungai Petani berkata, dia mengunju­ngi premis di Taman Kelisa Ria kerana mendapati proses pembayaran di kaunter di situ agak cepat walaupun ramai pelanggan membeli barangan keperlu­an asas menggunakan MyKad.

“Memang hari pertama ramai orang datang membeli tetapi dengan persediaan pihak premis ini membuka lebih ba­nyak kaunter bayaran berban­ding hari biasa melancarkan proses pembelian itu.

“Selain itu di premis ini ba­nyak produk yang dikategorikan boleh dibeli di bawah SARA dan saya seperti rakyat lain bersyu­kur dengan pemberian RM100 yang dikreditkan terus melalui MyKad ini kerana dapat meri­ngankan beban ketika berbe­lanja,” katanya.

DI PETALING JAYA: Seorang pesara, Zakaria Ismail, 52, berkata, dia bersyukur menerima bantuan itu kerana sedikit sebanyak dapat meri­ngankan beban hidup.

“Sebagai orang tua yang sudah tidak bekerja, bantuan ini sangat bermakna buat saya kos sara hidup kini semakin tinggi di mana-mana sahaja. Sekurang-kurangnya, ia dapat meringankan belanja bulanan serba sedikit.

“Tidak kira orang bergaji besar mahupun kecil, saya yakin mereka juga mempunyai tanggungan tersendiri. Mungkin orang kaya, komitmen mereka lebih besar, jadi untuk bagi adil semua selayaknya merasa bantuan ini,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya.

Seorang pengajar institut pemandu, Eeswaren Payapoori, 62, yang juga merupakan pene­rima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyifatkan bantuan SARA sebagai inisiatif yang tepat dilaksanakan bagi mengurangkan perbelanjaan bulanan rakyat.

“Saya sekarang tinggal bersama isteri sahaja, jadi perbe­lanjaan bulanan biasanya tidak melebihi RM300. Jadi, dengan bantuan ini saya dapat kurangkan jumlah pengeluaran perbe­lanjaan saya.

“Walaupun hanya RM100, saya rasa berguna sebab dapat beli pelbagai barangan asas se­perti beras, minyak, rempah-ratus,” ujarnya.

Bagi Siti Maria Muhammad Ambulan, 31, pula, bantuan itu memudahkan rakyat berbelanja untuk keperluan asas namun berharap kerajaan memberi kelonggaran bagi membeli bara­ngan basah.

“Saya guna untuk beli bara­ngan dapur dan barangan mandian buat keluarga di rumah. Kalau boleh bagi bantuan akan datang, saya berharap dapat digunakan untuk membeli bahan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran pula. Itu antara cadangan penambahbaikan dari saya,” katanya.

Sementara itu, seorang guru tadika, Dominic, 23, berkata, bantuan berkenaan amat membantu khususnya bagi golongan muda sepertinya kerana dapat digunakan untuk membeli kelengkapan alat tulis bagi tujuan mengajar.

“Saya amat seronok apabila kerajaan memaklumkan bantuan SARA ini disalurkan kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas. Bagi saya, golongan mahasiswa dan orang muda seperti saya juga banyak keperluan yang harus dibeli,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN