IPOH: Cinta terhadap teater membuatkan Rashidi Abdul Kharis tidak berputus asa mengetengahkan seni lakonan pentas tersebut kepada masyarakat secara dalam talian sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 beberapa tahun lalu.
Malah bagi menghidupkan bidang seni tersebut, beliau turut menganjurkan pertandingan teater secara dalam talian.
“Hari kedua PKP, saya telah anjurkan pertandingan teater dalam talian bersama kanak-kanak. Saya berikan mereka skrip.
“Selepas itu, masyarakat termasuk aktivis mula mengikuti teater secara dalam talian ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Seni Negeri Perak 2025 di sini malam tadi.
Atas jasanya sejak tahun 1984, beliau dalam majlis tersebut menerima Anugerah Tokoh Sepanjang Zaman yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Rashidi yang berusia 63 tahun berkata, dirinya kini masih giat aktif dalam teater dan menjadi pengajar kepada generasi baharu termasuk di sekolah.
“Teater dapat memanusiakan manusia. Maksudnya, seni ini dapat menjadikan manusia itu lebih menghargai dirinya, masyarakat dan negara,” katanya yang menganggap teater kekal relevan.
Penerima Anugerah Tokoh Seni Negeri Perak 2025, Mannan Miah Wabulah, 65, gembira dengan pengiktirafan tersebut setelah berkecimpung dalam pelbagai bidang seni termasuk tarian sejak 1985.
“Kini saya kerap mendidik generasi baharu tentang kesenian. Malah dijemput ke sekolah untuk memberi tunjuk ajar,” katanya.
Sementara itu Saarani dalam ucapannya berkata, Perak telah memperkenalkan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Perak dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040, yang turut menyediakan ruang dan ekosistem untuk industri kreatif berkembang.
“Korea Selatan adalah contoh terbaik. Mereka berjaya menjadikan K-Pop dan K-Drama sebagai fenomena global, sekali gus melonjakkan imej serta ekonomi negara.
“Malaysia, khususnya Perak, juga mampu mencontohi semangat ini dengan mengetengahkan keunikan seni dan budaya kita sendiri mengikut acuan tempatan,” katanya. – UTUSAN