BUTTERWORTH: Seorang pengawal keselamatan direman empat hari bermula hari ini berhubung kes mencederakan ibunya yang baru pulang dari masjid dalam kejadian di sebuah flat di Mak Mandin, di sini semalam.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 47 tahun itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth kira-kira pukul 11.20 pagi tadi.
Difahamkan, dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari semalam, mangsa berusia 72 tahun itu dikatakan baru sahaja pulang ke rumah mereka selepas mengikuti kelas agama di masjid berhampiran.
Sebaik masuk ke dalam rumah, suspek yang juga anak kedua mangsa tiba-tiba menghalau ibunya keluar sebelum menyerang warga emas itu.
Suspek dikatakan turut mencungkil mata ibunya sebelum menyerang mangsa menggunakan objek tajam.
Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan jiran sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Susulan itu, bertindak atas maklumat, pihak polis menahan suspek di kediaman dan pemeriksaan lanjut mendapati, dia positif dadah serta baru sahaja dibebaskan daripada pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2 September lalu.
Difahamkan, suspek yang sering mengamuk itu juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik. – UTUSAN










