JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat dan syarikatnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan di bawah Akta Petunjuk Geografi 2022, pendakwaan yang pertama seumpamanya di negara ini.
Orang kena saman (OKS), Lim Sen Thiam, 53, yang turut mewakili syarikat KK Tanom Coffee Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan menggunakan petunjuk geografi yang salah pada pembungkus petunjuk geografi berdaftar tanpa persetujuan.
Lelaki itu dibuat membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, OKS sebagai pengarah syarikat tersebut didakwa menggunakan dengan salah petunjuk geografi iaitu ‘KK Tanom Coffee’ pada plastik pembungkus Uncang Kopi-‘O’ 2 in 1 Kopi-O Kow 240 gram sebanyak 1,368 unit.
Ia secara tidak langsung merujuk kepada petunjuk geografi berdaftar iaitu ‘Tenom Coffee’ tanpa persetujuan tuan punya berdaftar petunjuk geografi itu.
Syarikat itu turut didakwa melakukan perbuatan yang sama di sebuah premis di Jalan Lagenda 5, Taman Lagenda Putra, Lagenda Industrial Park, Kulai, pada pukul 12.10 tengah hari, 25 Mac lalu.
OKS didakwa mengikut Seksyen 67(1)(b) Akta Petunjuk Geografi 2022 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34(3)(b) akta sama.
Lelaki itu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan suatu petunjuk geografi berdaftar yang dipakaikan dengan salah atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syarikat itu pula didakwa mengikut Seksyen 34(3) Akta Petunjuk Geografi 2022 dan boleh dihukum di bawah seksyen 34(3)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan petunjuk geografi berdaftar yang dipakaikan dengan salah itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Hakiim Izani dan Nur Sulehan Abd Rahman yang menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat KPDN terdekat sebulan sekali.
Peguam YX Ching yang mewakili OKS, memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya menanggung seorang isteri, tiga anak dan ibu berusia 79 tahun.
“OKS adalah pencari nafkah tunggal dan menanggung serta membayar semua kos perubatan ibunya yang menghidap strok,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan tanpa sebarang syarat tambahan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Oktober depan bagi serahan dokumen. – UTUSAN










