GEORGE TOWN : Pewartaan kawasan bandar baharu dan semakan kadar cukai tanah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang selepas lebih 30 tahun, menimbulkan kebimbangan terhadap beban rakyat khususnya penduduk kampung tradisi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu menyebabkan lot kediaman kampung yang sebelum ini dikenakan kadar cukai 22 sen bagi setiap meter persegi kini ditaksir semula sebagai lot kediaman bandar dengan kadar 70 sen bagi setiap meter persegi.
“Kenaikan yang mencecah lebih 100 peratus itu dijangka memberi kesan langsung kepada pemilik tanah berpendapatan rendah serta warga emas yang mewarisi tanah keluarga sejak turun-temurun,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang akan melaksanakan semakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh negeri.
Kon Yeow berkata, pewartaan kadar baharu itu dibuat di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 September lalu dan kadar baharu itu telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara pada 2024 dan hanya akan disemak semula setiap 10 tahun sekali.
Menurut Reezal Merican, kerajaan negeri wajar meneliti pendekatan lebih mesra rakyat agar pewartaan dan kadar baharu tidak menimbulkan tekanan berlebihan kepada golongan marhaen.
“Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pemberian rebat khas secara berperingkat, khususnya kepada pemilik tanah kampung tradisi dan golongan B40,” katanya. – UTUSAN










