KOTA BHARU: Penduduk Jalan Atas Paloh dekat sini, menuntut janji Kerajaan Negeri Kelantan untuk menganugerahkan sebuah pangsapuri kepada semua 53 keluarga selepas kawasan tersebut dibangunkan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Atas Paloh, Mohd. Naqib Md. Hassan berkata, kemudahan rumah transit juga antara janji yang ditawarkan oleh kerajaan bagi tujuan berkenaan.
Namun, katanya, ia belum ditunaikan oleh kerajaan negeri sekali gus memaksa mereka menuntut janji tersebut.
“Harapan kami supaya kerajaan negeri dapat tunaikan janji-janji yang telah dibuat semasa perasmian projek untuk membangunkan kawasan Kampung Atas Paloh.
“Setakat ini hanya dua hingga tiga keluarga sahaja yang dapat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Selebihnya ada yang menumpang di rumah anak-anak dan menyewa di kawasan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Difahamkan kawasan itu sudah dihuni oleh penduduk sebelum merdeka dan dikatakan penempatan tersebut sudah berusia lebih 80 tahun.
Kawasan tersebut merupakan tanah rizab Sungai Kelantan yang dijadikan sebagai kawasan penempatan penduduk.
Sebagai balasan penduduk membayar lesen pendudukan sementara (TOL) untuk penempatan mereka selain cukai pintu dan pernah mengemukakan permohonan mendapatkan geran hak milik namun gagal.
Mohd. Naqib berkata, generasi pertama dan kedua dahulu pernah memohon pemilikan tanah di kawasan tersebut namun gagal kerana ia merupakan rizab sungai.
Katanya, sebaik sahaja projek tebatan banjir yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan siap, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mula melihat potensi kawasan itu dan terus mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan hak.
“Ketika rakyat minta, mereka (kerajaan negeri) tidak mahu berikan. Tetapi bila hendak melaksanakan projek, pelbagai janji-janji manis diberikan. Janji tinggal janji,” ujarnya.
Mohd. Naqib berkata, pampasan sebanyak RM1,000 kepada penduduk tidak setimpal dan disifatkan sebagai zalim.
Media sebelum ini melaporkan, PKINK tidak menzalimi penduduk setinggan di Lot Pt 79, Seksyen 5, Jalan Atas Paloh berikutan kerja perobohan rumah di lokasi itu.
Menurut PKINK, tanah seluas 1.79 hektar itu adalah hak milik perbadanan itu dan perobohan rumah penduduk dibuat mengikut keputusan mahkamah. – UTUSAN










