KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memuji sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang menolak pencalonan bertanding jawatan Naib Presiden Pas dalam pemilihan parti itu.
Katanya, sikap yang ditunjukkan Muhammad Sanusi itu menunjukkan perjuangan di dalam parti bukan kerana pangkat semata-mata.
Beliau juga melihat Muhammad Sanusi telah membuat pertimbangan sewajarnya apabila menolak pencalonan jawatan Naib Presiden meskipun sudah cukup layak.
“Bagi saya, sikap Sanusi ini saya sanjung tinggi. Saya bila depan dia pun, saya puji dia.
“Jadi saya rasa dia (Sanusi) buat pertimbangan baik. Saya sendiri pun kalau pergi muktamar nanti dan diberi peluang mengundi, kalau ada empat jawatan itu (salah seorang Sanusi), sudah tentu ada calon yang hendak saya undi iaitu salah seorangnya Sanusi, sebab sikap dia.
“Ertinya, dia buat ini bukan sebab pangkat. Dia pun dalam ucapannya pernah sebut, kalau parti kata terus, maka dia terus, kalau parti kata tak payah, dia tak ada apa-apa. Inilah semangat pemimpin,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Muhammad Sanusi yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon berpotensi ke kerusi Naib Presiden Pas menolak pencalonan tersebut buat kali ketiga berturut-turut.
Beliau hanya akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang antara calon lain ialah dua lagi Menteri Besar iaitu Mohd. Shukri Ramli (Perlis) dan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud (Kelantan).
Ditanya mengenai keupayaan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kekal mengetuai Pas meskipun berdepan masalah kesihatan, Hashim berkata, Pas masih memerlukan Abdul Hadi bukan disebabkan tenaga fizikal tetapi akal fikiran dan panduannya.
“Daripada sudut fizikal, kita semua tahu dia (Abdul Hadi) sakit, selalu keluar masuk hospital. Tapi daripada sudut kepimpinan, kalau kita ambil sejarah Nabi SAW dulu, Nabi SAW tidak tinggal mengimamkan sembahyang kecuali sudah habis tenaga, maka dia terpaksa mengambil Saidina Abu Bakar untuk ganti jadi imam.
“Jadi daripada sudut itu, Abdul Hadi saya cukup kagum dengan dia. Walaupun keluar masuk hospital tapi kuliah dia tidak tinggal. Hari Jumaat minggu ini masuk wad, tengok-tengok Jumaat depan sudah ada kuliah. Dalam mesyuarat syura pun, kita tahu dia uzur, tidak larat dan dipimpin empat lima orang, tapi apabila diberi mikrofon, bercakap seperti tidak sakit.
“Saya rasa kalau ikut sejarah, bukan alasan sakit dijadikan sebab tak boleh jadi ketua,” katanya. – UTUSAN











