Pempengaruh dan suami diperintah padam hantaran fitnah Fattah Amin

Pempengaruh dan suami diperintah padam hantaran fitnah Fattah Amin

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan sepasang suami isteri memadamkan hantaran berbaur fitnah di akaun media sosial milik mereka berhubung dakwaan pelakon terkenal, Fattah Amin telah berlaku curang.

Pasangan terbabit, Nuraien Adilla Hasha Akhbar dan Mohd. Hafizzuddin Hamri yang dinamakan sebagai defendan diperintah berbuat demikian selepas Hakim Datuk Anand Ponnudurai membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin selaku plaintif.

Perintah injunksi ad-interim itu antara lain menghalang defendan sama ada secara sendiri atau melalui wakil daripada menerbitkan sebarang kenyataan berhubung plaintif, khususnya berkaitan dakwaan kononnya Fattah Amin, 35, sehingga pelupusan penuh permohonan injunksi inter parte (kedua-dua belah pihak).

Mahkamah turut menetapkan 25 September ini bagi pengurusan kes selanjutnya. Pada prosiding hari ini, Fattah diwakili peguam, Mohd. Faiz Iskandar Hamzah.

Menurut afidavit yang difailkan pada 26 Ogos lalu, Fattah mendakwa Nuraien Adilla yang merupakan pempengaruh media sosial dan Mohd. Hafizzuddin yang bergiat aktif dalam aktiviti perdagangan pasaran pertukaran mata wang asing, telah menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di akaun Threads masing-masing pada 29 Julai dan 22 Ogos lalu.

Beliau berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain membawa maksud pelakon terbabit berlaku curang dengan seorang wanita sekaligus menjadi punca perceraian Fattah dengan bekas isterinya, Fazura dan merupakan seorang hipokrit dan munafik.

Kenyataan berbaur fitnah itu telah diterbitkan, ditonton, dikongsi dan disebarkan dengan meluas termasuk oleh beberapa portal hiburan sehingga mengundang pelbagai reaksi negatif masyarakat terhadap Fattah.

“Defendan-defendan secara bersama menerbitkan kenyataan fitnah tanpa pengesahan daripada saya dengan tujuan mencemar nama baik, menjatuhkan reputasi dan memalukan saya di mata masyarakat serta dalam bidang profesional saya.

“Akibat tindakan mereka, saya mengalami gangguan emosi, penghinaan serta pengaiban secara umum selain mencemarkan nama baik saya,” katanya dalam pernyataan itu.

Sehubungan itu, Fattah memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan, menerbit atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya.

Beliau turut menuntut kedua-dua defendan membuat permohonan maaf tanpa syarat secara bertulis di akaun Threads serta media sosial yang dikawal mereka, selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan berjumlah RM5 juta.

Pada 7 Oktober 2024, Fattah Amin dan Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN