Pembangunan semula Kampung Sungai Baru tahun depan

Pembangunan semula Kampung Sungai Baru tahun depan

Tapak pembangunan semula Kampung Sungai Baru, bersebelahan Lebuhraya AKLEH, kini dalam fasa akhir pembersihan bagi memberi laluan kepada pembangunan KL City Gateway.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: KL City Gateway Sdn Bhd menyambut baik pengumuman Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengenai kerja-kerja pembinaan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru pada suku pertama tahun depan.

Sebagai pemaju yang dilantik oleh pemilik untuk projek itu, KL City Gateway berbesar hati mengesahkan kelulusan Kebenaran Merancang (KMS) dan Perintah Pembangunan (DO) telah berjaya diperoleh.

Pembangunan semula ini bakal menyaksikan lapan blok flat dan 64 rumah teres di Kampung Sungai Baru yang akan ditransformasikan menjadi KL City Gateway — Menghubungkan kawasan kejiranan tradisi dengan latar langit Kuala Lumpur.

Ia bakal menjadi mercu tanda yang mendefinisikan semula gaya hidup bandar, dengan lokasi strategik bersebelahan Kampung Baru.

Dengan sambungan terus ke KLCC melalui jejambat ikonik Pintasan Saloma, pembangunan ini bakal dihubungkan dengan laluan pejalan kaki bertingkat serta akses langsung ke AKLEH yang bukan sahaja meningkatkan mobiliti pejalan kaki, malah memperkukuh jaringan infrastruktur, sekali gus menghubungkan tradisi dengan kemodenan.

Dari tahun 2016 hingga 2020, KL City Gateway telah melaksanakan sesi libat urus menyeluruh termasuk taklimat awam, dialog bersemuka, serta pertemuan bersemuka bersama penduduk dan pemilik yang terlibat. Usaha ini penting dalam merangka pendekatan pembangunan semula yang menekankan ketelusan dan kepentingan komuniti.

Projek inisiatif swasta ini dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang serta garis panduan dan dasar pembangunan bandar yang berkaitan. Secara khusus, pengambilan baki hartanah daripada pemilik yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula ini telah diselesaikan selaras dengan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Semua pemilik berdaftar serta pihak berkepentingan lain telah pun menerima pampasan, dengan pembayaran dibuat bermula Julai 2023. Walaupun terdapat sebilangan kecil yang tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditentukan oleh Pentadbir Tanah dan seterusnya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kesemua 11 unit flat ini telah menyelesaikan kes melalui penyelesaian luar mahkamah.

Daripada 31 unit rumah teres, sebahagian memperoleh kenaikan pampasan sekitar 8%, manakala sebahagian lain tidak menerima sebarang kenaikan, sementara selebihnya masih menunggu penetapan tarikh pendengaran.

Selepas pengambilan tanah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan Perintah Milikan bagi hartanah terlibat pada 15 November 2024 dan 28 Februari 2025.

Projek ini kini memasuki peringkat akhir kerja-kerja pembersihan tapak. Sehingga kini, lapan blok flat telah berjaya dirobohkan, manakala proses pengosongan rumah teres sedang dijalankan dan dijangka disambung semula mengikut perintah mahkamah pada 11 September 2025 dan dijangka bersedia sepenuhnya untuk memulakan pembinaan pada tahun hadapan.

Majlis pecah tanah yang akan datang bakal menandakan permulaan transformasi bersejarah, menjadikan penempatan tradisional ini sebuah destinasi bandar yang inklusif, moden dan bersedia untuk masa depan.

ABD. HADI AHMAD

“Pembangunan semula ini adalah usaha untuk memperkasakan kehidupan komuniti yang sekian lama menjadi nadi Kampung Sungai Baru. Kami komited mewujudkan legasi yang berkekalan buat generasi masa depan Kuala Lumpur.

“Keutamaan kami adalah memastikan transformasi ini mencerminkan kemajuan moden tanpa mengabaikan kelestarian warisan,” kata Abd. Hadi Ahmad, Pengarah KL City Gateway. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN