GERIK: Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memindahkan 322 ekor haiwan ternakan tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak pada Mac dan April lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Aizal Afizi Ishak, 28, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa telah memindahkan 139 ekor kambing dan 23 ekor biri-biri dengan menggunakan lori jenis Isuzu tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.
Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 44, Jalan Gerik Lenggong, Bukit Sumpitan, Lenggong dalam daerah Hulu Perak pada pukul 2.15 pagi, 26 Mac 2025.
Muhammad Aizal Afizi juga didakwa bagi kesalahan sama iaitu memindahkan 160 ekor kambing menggunakan kenderaan sama di Jalan Gerik-Lenggong berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada pukul 12.05 tengah malam, 10 April 2025.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452).
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin manakala OKS diwakili Muhammad Zaem Ab Aziz.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan untuk serahan fakta kes dan tarikh jatuh hukum. – UTUSAN