TAIPING: Pelari Iceland, Kristjan Chapman muncul juara kategori utama kejohanan larian denai UTMB 2025 selepas menamatkan saingan sejauh 96.7 kilometer dengan masa 11 jam 39 minit 29 saat di sini semalam.
Chapman memanfaatkan peluang ketika pencabar utamanya, Bai Xing Zhi dari China, berhenti untuk mengikat tali kasut pada pendakian terakhir untuk memisahkan diri sebelum muncul pelari pertama menamatkan perlumbaan.
Xing Zhi terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 11:51:52, manakala pelari Jepun, Kanta Mizutani melengkapkan podium dengan masa 12:14:56.
Pelari Malaysia, Sua Yih Huan dari Kepala Batas, Pulau Pinang menamatkan saingan di tempat keempat dengan masa 12:49:48, sekali gus muncul wakil negara terbaik dalam kategori berprestij itu.
Rakan senegara, Daved Simpat dari Sabah menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan masa 12:59:53.
Bagi kategori wanita kategori utama, wakil China, Jiang Wen Li, muncul juara dengan catatan 15:11:33, diikuti pelari Jepun, Mika Taniguchi (15:32:42) di tempat kedua, manakala So Kit Yang dari Hong Kong menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 16:29:42.
Kategori MY50 lelaki pula menyaksikan penguasaan pelari China apabila Luo Tao muncul juara dengan masa 4:56:53, menewaskan rakan senegara, Yang Jian Jian (4:57:12) dan Wu Er Qing (4:57:14) yang masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori wanita MY50, tiga pelari China menguasai podium dengan Wang Liping meraih gelaran juara (6:08:19), diikuti Xiang Fuzhao (6:10:38) dan Zhou Xiao Xiao (6:30:27).
Sementara itu, kategori MY25 lelaki didominasi peserta tempatan apabila Arikchely Ariyl Arikah muncul juara dengan masa 2:29:25, meninggalkan rakan senegara, Daaraneshwaran Siva Kumar (2:52:22) dan Bryan Yeoh Zhi Yong (2:56:58).
Kategori wanita MY25 turut menyaksikan kejayaan wakil Malaysia, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, yang menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan 3:33:01. Pelari Australia, Ursula Adams, di tempat kedua (3:45:30), manakala wakil Hong Kong, Cathi Wong Kong Yuk, ketiga dengan masa 3:48:40. – UTUSAN