Peguam Zara minta tangguh perhimpunan aman solidariti

Peguam Zara minta tangguh perhimpunan aman solidariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir meminta agar semua bentuk perhimpunan aman berkait isu kematian pelajar Tingkatan Satu itu ditangguhkan sementara hingga prosiding inkues kes terbabit selesai.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan pasukan peguam dibarisi oleh Rizwandean M. Borhan, Shahlan Jufri, Mohd. Syarulnizam Mohd. Salleh, Mohd. Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Barisan peguam berkenaan memaklumkan bahawa pandangan mereka itu adalah selaras dengan hasrat ibu arwah, Noraidah Lamat, 45.

“Kami memohon supaya semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan serta komen dalam sosial media mengenai prosiding inkues itu dan bukti-bukti yang dikemukakan.

“Ini penting bagi mengelak risiko subjudis dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues berkenaan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Pasukan peguam itu sekali gus berpendapat sebarang himpunan solidariti berkaitan boleh diteruskan setelah prosiding inkues berkenaan selesai sepenuhnya.

“Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya.

“Dengan kesabaran serta kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai,” kata mereka.

Barisan peguam itu tidak ketinggalan menekankan bahawa mereka menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti ‘Justice For Zara’ dan sumbangan dana bagi menampung kos pelantikan pakar dalam pelbagai bidang untuk anak guam, iaitu ibu Zara Qairina, dalam inkues terbabit.

Mereka sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan sumbangan berkenaan.

“Kami juga sedia maklum bahawa beberapa individu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan pada perhimpunan atau komen dalam media sosial berkaitan gelombang ‘Justice For Zara’.

“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari tindakan pihak tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Katanya, mereka berpuas hati dengan perjalanan prosiding inkues kes kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini telah membabitkan enam saksi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN