PETALING JAYA: Peguam, Datuk Ram Singh membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat membabitkan seorang saksi remaja dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Ram yang mewakili saksi remaja dirujuk sebagai Pelajar A berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Luyang kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Saya mahu pihak polis menyiasat pelanggaran kerahsiaan maklumat ini, mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi saksi dan memastikan integriti prosiding inkues terpelihara,” katanya.
Semalam, saksi kanak-kanak itu sepatutnya memberikan keterangan pada sebelah petang selepas saksi kelapan, Azhari Abd. Sagap, 31, yang juga Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Bagaimanapun, insiden kebocoran maklumat itu menyebabkan prosiding inkues yang memasuki hari ke-10 semalam ditangguhkan ke Isnin selepas saksi kanak-kanak terbabit didapati tidak berada dalam keadaan emosi yang sesuai untuk memberikan keterangan.
Perkara itu didedahkan Ram yang mewakili salah seorang daripada lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos lalu atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Ram memberitahu mahkamah bahawa butiran peribadi anak guamnya seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah telah didedahkan di media sosial serta tersebar di aplikasi WhatsApp ialah sebahagian penyataan saksi remaja yang turut dinamakan sebagai Pelajar A.
Beliau turut mendedahkan bahawa satu video yang dimuat naik ke TikTok turut mendedahkan nama lima pelajar dan kejadian itu menyebabkan tekanan yang tidak sepatutnya kepada anak guamnya serta ahli keluarga mereka.
“Perkara ini jelas menyalahi undang-undang, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 serta peruntukan lain yang melindungi kerahsiaan prosiding mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan semalam turut meluahkan rasa kecewa terhadap kebocoran terbabit dan menasihatkan Ram membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. – UTUSAN







