BESUT: Sebuah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) khas di tempatkan di Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah, di sini susulan beberapa peristiwa yang melibatkan keselamatan pelancong di Pulau Perhentian, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pasukan khas itu beroperasi setiap tahun bermula Mac hingga Oktober, iaitu musim puncak kehadiran pelancong di pulau-pulau tersebut.
“Pasukan SAR ini diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ketua Polis Daerah Besut dan Balai Polis Perhentian sebagai pusat panggilan. Operasi ini meliputi kawasan pulau sepanjang musim pelancong bagi tempoh tersebut.
“Pasukan ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat sedia ada antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah Besut,” katanya di sini.
Razali berkata, ia juga membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan wakil pengusaha pelancongan serta komuniti setempat.
Kata beliau, inisiatif penubuhan pasukan itu bagi memperketat aspek keselamatan pelancong di kawasan pulau selain kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Jabatan Laut Malaysia juga bertindak sebagai agensi yang menyediakan kemudahan logistik termasuk bot bagi tujuan kecemasan. Kerajaan negeri yakin penubuhan pasukan ini dapat meningkatkan keyakinan pelancong serta memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin sepanjang berada di pulau-pulau peranginan di Terengganu,” katanya. – UTUSAN











