Pasar Pagi Sungai Bayor 2.32KM terpanjang di Malaysia

Pasar Pagi Sungai Bayor 2.32KM terpanjang di Malaysia

PEMANDANGAN dari udara Pasar Pagi Sungai Bayor di Selama sepanjang 2.32 kilometer yang diiktiraf pasar terpanjang di Malaysia selepas mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Record hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Pasar Pagi Sungai Bayor di Selama di sini diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia sepanjang 2.32 kilometer.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengiktirafan tersebut sekaligus mengatasi rekod terdahulu yang dipegang pasar pagi di Temerloh, Pahang yang sepanjang 2.1 kilometer.

Pengerusi Persatuan Penjaja Daerah Kecil Selama, Mohamad Ezaiyuhan Awang berkata, pasar bersejarah itu pada asalnya dikenali sebagai Pekan Jumaat Sungai Bayor, mula bertapak sejak era 1960-an di tepi Sungai Bedarah.

“Namun, pada 2024 ia dipindahkan ke sepanjang Jalan Kampung Sungai Bedarah oleh Majlis Daerah Selama (MDS) atas faktor keselamatan dan bagi menampung pertambahan peniaga serta pengunjung dan pasar ini menjadi platform utama rakyat menjual hasil tani selain pusat dagangan mingguan yang terus berkembang pesat.

“Pengiktirafan ini membuka lembaran baharu kerana pasar pagi di sini akan lebih dikenali, sekali gus mampu menarik pelancong dari luar untuk datang ke Selama,” katanya pada Majlis perasmian Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pegawai Daerah Larut Matang Selama, Mohd. Nasrul Menhat dengan disaksikan hampir 500 peniaga dan ribuan pengunjung.

Sementara itu,Yang Dipertua MDS, Nor Akmal Yang Ghazali berkata, hasrat menjadikan Pasar Pagi Sungai Bayor sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia akhirnya tercapai selepas enam tahun tertunda.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian, malah menjadi hadiah berharga kepada warga Selama sempena sambutan Merdeka. Ia melonjakkan nama Selama sebagai destinasi pelancongan wajib dikunjungi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Beliau mengakui infrastruktur kawasan terbabit perlu ditambah baik termasuk penyediaan tempat letak kereta dan tandas awam bagi menampung jumlah pengunjung yang semakin ramai.

Katanya, dengan pengiktirafan MBOR, pihak MDS kini mempunyai justifikasi kukuh untuk memohon peruntukan daripada kerajaan bagi tujuan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, cadangan memperkenalkan elemen bertema seperti pakaian busana tradisional secara berkala turut dipertimbangkan sebagai daya tarikan baharu.

Dalam perkembangan yang sama,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamarudin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada MDS, persatuan penjaja dan warga setempat yang bersama-sama menjayakan usaha bersejarah itu.

Beliau menegaskan, pengiktirafan tersebut bukan sahaja membanggakan rakyat Selama, malah diyakini menjadi pemangkin pelancongan yang memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN