ALOR SETAR: Pas perlu mendekati masyarakat dengan pendekatan hikmah, tanpa mengabaikan kepentingan Islam mahupun hak kaum lain terutama di negeri seperti Sarawak dan Sabah.
Perwakilan Pas Sarawak, Zharudin Narudin berkata, realiti Sarawak yang memiliki lebih 45 etnik dan sub-etnik berbeza, termasuk Iban, Bidayuh, Melanau, Melayu, Cina dan Orang Ulu memerlukan pendekatan yang sesuai.
Katanya, walaupun Pas belum mempunyai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, tetapi Pas Sarawak tetap komited menjadi jambatan politik damai bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mengukuhkan survival politik Muslim di negeri itu.
Beliau juga menyatakan bahawa pemimpin Pas tidak boleh hanya dilatih untuk menjadi ahli politik, tetapi juga perlu menjadi pentadbir, pengurus dan tokoh dalam bidang ekonomi.
“Pemimpin yang berfikrah haraki, jujur dan bersih akan memilih pendekatan damai dalam mengurus organisasi dan rakyat,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini..
Selain itu, beliau menekankan bahawa Pas perlu memahami konsep federalisme serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan kepimpinan Islam mampu mengurus Malaysia secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada negeri tertentu.
Zharudin turut mengingatkan agar Pas bijak mengawal naratif media dan komunikasi supaya tidak menimbulkan emosi atau perpecahan dengan memetik hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa seorang mukmin tidak boleh mencaci, melaknat, berkata keji atau kotor.
Beliau juga menegaskan bahawa Pas Sarawak berdiri teguh menyokong penuh Ucapan Dasar Presiden dan akan terus istiqamah dalam mengangkat pendekatan damai di negeri itu.
“Pendekatan ini bukan sahaja menjamin keamanan, malah mengukuhkan PAS sebagai gerakan Islam yang menawan hati umat Islam serta diterima sebagai suara penyatu seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya. – UTUSAN










