Pas dahulukan bayaran untuk calon Bersatu bertanding di Kedah - Utusan Malaysia

Pas dahulukan bayaran untuk calon Bersatu bertanding di Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas Kedah menafikan menerima sebarang dana daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kos kempen di Kedah ditanggung sepenuhnya Pas menggunakan sumbangan ahli serta kutipan derma melalui unit peti undi (UPU) masing-masing.

“Semua kos di Kedah kami (Pas) tanggung sendiri. Peralatan dan perkakas calon Bersatu pun Pas Kedah yang dahulukan bayaran, cuma seorang calon sahaja yang bayar balik. Cuba tanya dekat dia, bagi dekat siapa duit itu, saya pun nak tahu juga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas mengulas kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), Datuk Dr. Marzuki Mohamad yang mendakwa semua kos pilihan raya PN ditanggung oleh Bersatu, termasuk sumbangan kewangan kepada Pas.

Marzuki berkata, peralatan pilihan raya menggunakan logo PN disediakan oleh Bersatu, sekali gus membantu Pas mera­ih 43 kerusi Parlimen iaitu pencapaian terbesar dalam sejarah parti itu.

Muhammad Sanusi berkata, Pas banyak berkorban menyediakan kewangan, peralatan serta jentera sepanjang PRU15 bagi memastikan kemenangan calon PN.

Beliau yang juga Pengerusi PN Kedah mengingatkan rakan komponen supaya lebih bersedia daripada segi kewangan dan logistik menjelang pilihan raya akan datang.

Terdahulu, Muhammad Sanusi ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 menegur rakan komponen dalam PN agar bersama-sama membuat persiapan dalam bentuk kewa­ngan untuk pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN