SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang di perairan Pulau Mataking di sini sejak 12 September lalu diperluas ke perairan Filipina dengan bantuan Philippine Coast Guard (PCG).
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pihak PCG mula menjalankan operasi pencarian sejak 13 September berikutan faktor arus dan angin yang berkemungkinan membawa mangsa ke perairan negara jiran itu.
“Penyertaan PCG amat penting bagi memperluas sektor pencarian melibatkan kawasan rentas sempadan. Kerjasama ini meningkatkan peluang untuk mengesan mangsa.
“Setakat ini, operasi diketuai Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu membabitkan 12 sektor dengan keluasan 115 batu nautika persegi (BNp). Jumlah keseluruhan kawasan pencarian sejak hari pertama mencecah 312 BNp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, dari Batalion 5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), masih belum ditemui setakat pagi ini.
Mohd. Khairulanuar sementara itu berkata, operasi akan diteruskan secara bersepadu dengan sokongan penuh semua agensi terlibat. – UTUSAN