KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish tampil menepis spekulasi yang kononnya dia bakal melangsungkan perkawinan pada esok.
Menerusi Instagram, kata Nora spekulasi yang tersebar hanyalah salah faham dan sama sekali tiada kaitan dengan dirinya.
“Ramai yang bertanyakan kepada saya mengenai gambar serta laporan yang tersebar baru-baru ini.
“Dengan penuh hormat saya ingin menyatakan yang saya tidak akan berkahwin esok.
“Gambar serta video yang tular sebelum ini merupakan sebahagian kempen pemasaran sebuah jenama. Secara peribadi tidak ada kaitan dengan saya,” tulis di InstaStory.
Teka Teki mengenai cerita perkahwinan itu timbul apabila sebuah jenama pakaian tempatan memuat naik video dan gambar di TikTok menampilkan jejaka yang sekarang ini dikaitkan Nora iaitu Mickey Ayo dalam persalinan pernikahan serba putih.
Tambah menimbulkan persoalan apabila kad kahwin berinisial M dan N serta tarikh 8 Septermber 2025 turut dipaparkan dalam kandungan berkenaan.
Nora dalam kenyataan sama berharap semua salah faham berkenaan perkara itu terlerai susulan penjelasan dari pihaknya.
“Saya menghargai keprihatinan, doa dan kasih sayang dari anda.
“Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan dengan kebaikan anda, saya sayang anda semua,” kongsinya. – UTUSAN