NEW YORK: Kerajaan Israel yang dipimpin Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dimalukan dan ‘dihentam’ teruk dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), apabila Qatar serta beberapa pemimpin lain termasuk Jordan dan Turkiye lantang mengutuk kekejamannya terhadap Gaza.
Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani dalam ucapannya menuduh Israel memilih peperangan berbanding membebaskan baki tebusan, selain menyifatkan serangan khianat pada 9 September lalu sebagai cubaan menggagalkan rundingan gencatan senjata di Gaza.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres serta pemimpin Jordan dan Turkiye turut senada mengecam Israel berhubung tindakan di wilayah itu.
Manakala, Raja Abdullah II dari Jordan menumpukan hampir keseluruhan ucapannya untuk mengecam kerajaan Israel, dan menyifatkan Netanyahu bukan rakan yang boleh dipercayai untuk mencapai perdamaian, serta seruan ‘Israel Raya’ dianggap mengancam kedaulatan dan keselamatan negara-negara jiran.
Mengulas mengenai serangan terhadap Doha, Emir Qatar mengecam pencabulan kedaulatan negaranya dan sekali lagi menyifatkan tindakan Israel sebagai ‘perbuatan liar’, selain menuduh rejim mengamalkan dasar pembunuhan politik.
“Mereka berunding dengan delegasi, tetapi dalam masa sama merancang untuk membunuh ahli pasukan rundingan.
“Sukar untuk bekerjasama dengan mentaliti yang tidak menghormati piawaian paling asas dalam kerjasama. Ia mustahil,” katanya.
Sheikh Tamim menuduh Israel memperalatkan rundingan sebagai kesinambungan perang dan helah untuk memperdaya pandangan awam negaranya sendiri, sekali gus mengetepikan usaha pembebasan tebusan.
“Pemimpin Israel itu mahu meneruskan perang. Dia percaya kepada apa yang disebut Israel Raya.
“Netanyahu percaya perang adalah peluang memperluas penempatan serta mengubah status quo di tapak suci Temple Mount, kawasan sensitif yang pernah menempatkan dua kuil Yahudi purba dan kini menjadi Masjid Al-Aqsa, selain merancang serangan di Tebing Barat,” katanya.
Katanya Israel bukan sebuah negara demokratik yang dikelilingi musuh, sebaliknya ia sendiri menjadi musuh kepada jirannya.
Sheikh Tamim turut berikrar Qatar akan terus mengutamakan diplomasi meskipun berdepan lawan yang lebih memilih senjata, sambil menolak kempen maklumat palsu terhadap negaranya.
Raja Abdullah menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan kecaman kosong tanpa tindakan konkrit terhadap konflik Palestin-Israel, dengan menyifatkan perang di Gaza sebagai detik paling hitam dalam sejarah PBB.
Baginda menuduh Israel menggunakan perjanjian sementara sebagai helah untuk merampas tanah, memperluas penempatan haram dan mengusir penduduk Palestin, selain membiarkan tapak suci Islam serta Kristian di Baitulmuqaddis tercemar.
“Apa kita lihat hanyalah sebahagian kecil kerana liputan media antarabangsa turut dihalang daripada merakam realiti sebenar di Gaza,” katanya.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan konflik di Gaza bukan lagi perang menentang keganasan, sebaliknya, sebahagian dasar pendudukan dan pemusnahan kehidupan.
Katanya, orang awam termasuk kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman tentera Israel yang memiliki senjata paling moden,
Guterres pula memberi amaran perang di Gaza memasuki episod mengerikan, selain menuduh Israel melaksanakan hukuman kolektif yang tidak seimbang terhadap penduduk Palestin.
“Mereka adalah hasil daripada keputusan yang menentang asas kemanusiaan,” katanya ketika merasmikan UNGA, kelmarin.
Beliau menegaskan, skala kematian dan kemusnahan di Gaza melangkaui mana-mana konflik sepanjang hampir sembilan tahun memegang jawatan itu.
Bagaimanapun, di ketika kebanyakan negara mengecam kekejaman Israel di Gaza, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto Prabowo memilih pendekatan berbeza apabila ucapannya menyatakan kesediaan Indonesia mengiktiraf Israel sekiranya Tel Aviv menerima kenegaraan Palestin.
Presiden negara Muslim terbesar dunia yang tiada hubungan rasmi dengan Israel itu menyeru dunia menghormati hak Israel untuk keselamatan dan menutup ucapannya dengan ‘Shalom’ iaitu ucapan selamat dalam bahasa Ibrani yang bermaksud kedamaian. – UTUSAN










