Mukbang spontan tawan hati ramai - Utusan Malaysia

Mukbang spontan tawan hati ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dari sekadar membuat sesi siaran langsung secara spontan, siapa sangka pelakon dan pempengaruh, Ryun Ryry berjaya menarik ribuan pengikut di media sosial hanya untuk melihatnya makan atau ‘Mukbang’.
Kata Syamiem Elnisa Husni, dia sendiri tidak jangka konten spontan sebegitu mampu menarik perhatian pengguna media sosial untuk mencuba makanan yang dinikmatinya.

“Sebelum ini, saya tidak mempunyai keyakinan untuk membuat konten makan-makan seperti sekarang. Namun melihat sambutan yang saya terima sewaktu membuat siaran langsung ketika makan di sebuah restoran, saya tidak sangka ramai yang menyukainya.

“Selepas itu ramai yang buat permintaan untuk hasilkan video Mukbang dan saya mulakan secara spontan dengan hanya merakam momen ketika saya menikmati Sukiya.

“Selepas beberapa video makan saya meraih tontonan mencecah 1 juta, saya jadi seronok untuk hasilkan banyak lagi konten seperti itu. Pada saya, makanan menyatukan semua orang tanpa mengira pelbagai latar belakang,” katanya kepada Pancaindera.

Pada masa sama, pelakon berusia 23 tahun itu mengakui penglibatannya dalam industri lakonan sejak kecil membuatkan dirinya yang sebelum ini cerewet dalam pemakanan dan semakin berani untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Dulu saya tidak suka makan nasi dan ikan. Saya seorang picky eater disebabkan saya membesar di set penggambaran, apa yang dihidangkan oleh pihak produksi itulah yang saya makan.

“Dari situ ia membantu untuk saya kembangkan palate dan tunas rasa saya. Daripada tidak suka masakan kampung, saya jadi suka. Apabila sudah 23 tahun, saya sendiri yang mencari belacan dan masak lemak.

“Tapi saya masih tidak dapat terima rasa ikan. Apa yang saya boleh katakan, saya tetap akan beranikan diri untuk cuba benda baru walaupun masih tidak suka ikan, kalau saya nampak sedap, saya akan makan,” ceritanya.

Tambah pelakon drama Hati Tercarik Luka itu, perkongsian sedemikian juga membuka peluang untuk dirinya dijemput beberapa restoran untuk memberi ulasan jujur mengenai menu yang dijual.

“Saya hanya seorang gadis yang berasal dari Subang Jaya yang suka berkongsi rasa cinta terhadap makanan.

Melihat pelbagai reaksi dan pendapat orang ramai mengenai sesetengah juadah yang saya makan, buatkan saya jatuh cinta.

“Dari situ ada beberapa restoran yang mengajak saya untuk memberikan ulasan tentang menu yang disediakan di premis mereka.

Tetapi saya tetap bertegas untuk memberikan ulasan yang jujur dan asli,” kongsinya.

Sedar dirinya mempunyai selera yang besar ketika menjamah setiap makanan, Ryun yang mesra disapa sebagai Ry atau Rai tetap menitikberatkan soal pemakanan yang seimbang.

“Saya pernah mengalami masalah berat badan berlebihan dua tahun lepas. Berat yang paling tinggi saya pernah capai adalah 63 kilogram (kg) walhal sebelum ini berat saya 43kg sahaja.

“Apa yang saya lakukan saya kawal juga porsi makanan dan minum air sebanyak 2.5 liter setiap hari.

Selain itu, saya minum air teh peppermint, makan suplemen dan amalkan One Meal A Day (OMAD)

“Saya berjaya turunkan berat sebanyak 15kg. Selain membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala, saya juga mengamalkan makan banyak sayur-sayuran.

Ramai yang tengok konten saya dari pada tidak suka sayur, jadi suka makan sayur,” jelasnya.

Pun begitu, pelakon jelita itu mengakui dirinya tidak pernah meletakkan had perbelanjaan untuk makanan meskipun cakna harganya semakin mahal.

“Sebelum ini, hampir setiap hari saya makan di restoran. Disebabkan saya sudah mula terikat dengan beberapa jenama kecantikan, saya cuba seimbangkan perkongsian saya di media sosial.

“Tidak dinafikan makanan sekarang ini memang mahal. Tapi bila melibatkan makanan kita tidak boleh berkira kerana itulah sumber rezeki. Selagi saya boleh berkongsi makanan yang saya suka, saya akan teruskan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN