PETALING JAYA: Permohonan mengadakan inkues berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin hanya boleh dibuat selepas laporan bedah siasat kedua disiapkan sepenuhnya.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, dua dokumen utama diperlukan bagi memulakan inkues iaitu kertas siasatan polis serta laporan bedah siasat.
“Inkues tidak dapat dimulakan selagi laporan bedah siasat belum siap. Dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebelum ini, laporan bedah siasat disiapkan dalam tempoh kira-kira dua minggu sebelum inkues ditetapkan bermula pada 3 September.
“Jadi, sebaik-baiknya tunggu laporan bedah siasat kedua dahulu. Jika laporan itu menunjukkan dapatan berbeza daripada siasatan awal, barulah ada asas kukuh untuk mohon inkues,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, keluarga kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, menggesa prosiding inkues segera dilaksanakan bagi menyiasat punca sebenar kematiannya selepas bedah siasat kedua menemukan beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan pelatih Palapes itu.
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, hasil bedah siasat menyeluruh yang dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur kelmarin mendapati terdapat kecederaan yang perlu disiasat lanjut kerana berkemungkinan menyebabkan kematian.
“Bedah siasat bermula jam 9 pagi dan tamat kira-kira 4 petang. Ia dilaksanakan dengan teliti, setiap anggota badan diperiksa selain turut menggunakan imbasan CT scan. Hasilnya menunjukkan kecederaan mencurigakan yang wajar disiasat.
“Saya memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengambil tindakan segera melaksanakan inkues. Kami juga mahu siasatan lebih serius dijalankan bagi mengenal pasti punca kecederaan serta bagaimana ia berlaku,” katanya.
Oleh itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keperluan inkues terhadap kematian Allahyarham Syamsul Haris akan ditentukan selepas menerima laporan penuh bedah siasat kali kedua daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mohd. Dusuki berkata, sebelum sebarang arahan diberikan berhubung inkues, siasatan penuh perlu dilakukan dengan penelitian dari pelbagai aspek.
“Dalam hal ini, saya sudah menghubungi PDRM untuk laporan penuh diberikan kepada kami hasil daripada bedah siasat kedua yang dijalankan,” katanya. – UTUSAN











