PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan jaminan isu perumahan mampu milik akan menjadi antara tumpuan utama dalam Belanjawan 2026.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada masa ini kerajaan sedang meneliti model baharu termasuk skim sewa untuk dimiliki (rent-to-own) serta pendekatan bina kemudian jual (build-then-sell) bagi memastikan lebih ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, berpeluang memiliki rumah.
“Perumahan mampu milik kekal menjadi keutamaan. Kerajaan sedang melihat mekanisme baharu supaya lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman mengikut kemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Laporan Pasaran Harta Tanah Separuh Pertama 2025 serta pelancaran Sistem PRISM 2.0, di sini hari ini
Amir Hamzah berkata, walaupun pasaran hartanah negara kekal stabil meskipun berlaku peningkatan kediaman tidak terjual sejak suku pertama tahun ini, reformasi perlu dilaksanakan bagi menangani isu struktur dalam sektor itu.
Beliau berkata, tahap kemampuan memiliki rumah berkait rapat dengan pendapatan isi rumah, justeru kerajaan giat melaksanakan pelbagai pembaharuan pasaran buruh termasuk kenaikan gaji minimum, galakan gaji progresif serta dorongan kepada majikan untuk melaksanakan gaji sara hidup.
“Paling penting adalah memperkukuh asas kemampuan dengan meningkatkan pendapatan rakyat. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan menyasarkan perkongsian buruh (pendapatan pekerja) dalam ekonomi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ditingkatkan daripada 33 peratus kepada 40 peratus,” katanya.
Mengulas skim sokongan sedia ada, beliau berkata Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menjadi antara inisiatif kreatif kerajaan yang membolehkan golongan tiada pendapatan tetap mendapatkan pinjaman perumahan dengan jaminan kerajaan.
Dalam pada itu, Amir Hamzah memberi jaminan bahawa peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak akan menjejaskan sektor perumahan kediaman kerana pembinaan dan bekalan bahan binaan dikecualikan cukai.
“Langkah ini memastikan kos rumah kediaman tidak terbeban, manakala sektor komersial pula menyumbang kepada hasil cukai,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 masih mengikut jadual dan akan dikuatkuasakan sebelum akhir tahun ini menggunakan sistem pengenalan diri melalui kad pengenalan.
“Kita pastikan majoriti rakyat akan terus menerima manfaat subsidi ini,” katanya. – UTUSAN