KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Sakinah, menzahirkan rasa kagum terhadap anak saudaranya, Auddra Zulkifly, yang disifatkan mempunyai karakter penghibur sejati sepanjang muncul di program pencarian bakat Talk To My Manager (TTMM).
Menurut Sakinah atau Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, beliau tidak mahu Auddra berasa tertekan sepanjang bertanding sebaliknya bergembira di atas pentas seperti kanak-kanak seusianya.
“Untuk umur Auddra baru 16 tahun, saya rasa dia dah buat yang terbaik. Pertandingan bukan sebab menang atau kalah, tapi juga untuk bergembira.
“Orang lain nampak tertekan, tapi saya bangga dengan Auddra sebab dia santai sahaja. Lagipun, kenapa kita nak bagi tekanan kepada budak umur 16 tahun, kan? Saya hanya mahu dia bergembira atas pentas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media filem Qifarah, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, pelakon Girlfriend Aku Dari Neraka itu tidak pernah mendesak apa yang perlu dilakukan Auddra sebaliknya memberikan ruang untuk dirinya menentukan hala tuju sendiri.
“Kalau dia betul-betul minat, dia akan ketuk pintu saya dan kata dia nak tolong. Dia dah memang fokus kepada industri. Industri ni memang kena bijak, kena ada ilmu. Bukan hanya untuk kerja sendiri tetapi juga beri inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Mengulas pendapat warga maya yang memanggil Auddra dengan gelaran ‘Mini Sakinah’ kerana sifatnya yang lucu di atas pentas, Sakinah bagaimanapun merasakan anak saudaranya itu jauh lebih berani berbanding dirinya.
“Saya lihat Auddra lebih berani daripada saya. Dia ada lagi persona seorang superstar. Saya mungkin tidak akan ke pentas seperti itu sebab minat saya memang dalam lakonan.
“Persona dalam media filem dan persona di pentas memang berbeza. Jadi biar saya ke arah lain, dan dia ke arah lain. Tapi hala tuju dan niat masih sama,” katanya.
Sementara itu, Sakinah tidak menafikan anak saudaranya lebih matang dan tahu membawa diri dalam industri terutamanya ketika menjawab pertanyaan kepada pihak media.
“Dulu saya memang langgar habis. Tapi Auddra tahu bila kamera ada, dia tahu nak cakap apa. Walaupun ayatnya belum tersusun, dia tetap yakin dan teruja. Dia masih muda, jadi saya biar sahaja dia berseronok.
“Cuma kalau ada nasihat daripada saya dan lain-lain, dia kena dengarlah. Saya dalam industri sudah 14 tahun. Kena tahu cara jawab bila media tanya. Bukan apa, benda-benda kecil boleh jadi besar nanti.
“Contoh kalau awak nak kahwin dengan siapa ke, tiba-tiba dulu awak cakap lain, sekarang cakap lain, bergaduh-gaduh, kita juga yang kena. Sebenarnya, dia sangat bertuah ada kami (Sakinah dan Sharifah Shahirah),” katanya.
Terdahulu, kemunculan anak kepada penyampai radio, Sharifah Shahirah iaitu Auddra mencuri tumpuan di program Talk To My Manager terutama kelincahannya menyanyikan lagu popular ‘Like Jennie’.
Talk To My Manager merupakan program realiti di mana anak-anak selebriti dan ibu bapa mereka menjadi pasangan pengurus dan artis, dengan anak sebagai penghibur dan ibu bapa sebagai pengurus kreatif. -UTUSAN