Mesej Hadi tertib, penuh tersirat untuk Muhyiddin?

Mesej Hadi tertib, penuh tersirat untuk Muhyiddin?

ABDUL Hadi Awang bersama Muhyiddin Yassin pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, Kedah, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ORANG umur lebih 70 tahun macam saya ini sudah tidak layak, jadi penasihat bolehlah. Biar yang umur 70 ke bawah jadi Perdana Menteri kerana orang itu masih kuat.” 

Kata Tan Sri Abdul Hadi Awang itu secara tertib namun penuh tersirat ketika ditanya mengenai calon Perdana Menteri dari Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, kelmarin.

Presiden Pas itu seolah-olah memberi gambaran agar sudah-sudahlah bagi pemimpin yang sudah berusia ini, masih mengharap jawatan Perdana Menteri sebaliknya berilah peluang kepada calon yang lebih layak.

Ia juga sekali gus dilihat seperti memberi mesej kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sekali lagi mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berusia 78 tahun sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Di dalam Pas, ramai calon muda atau lebih tepatnya di bawah usia 70 tahun mempunyai potensi besar dan berkelayakan untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun seperti saranan Abdul Hadi, ia mestilah berilmu, integriti dan sihat tubuh badan iaitu panduan atau kriteria dalam memilih calon Perdana Menteri.

Dua Menteri Besar Pas iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang masing-masing berusia 54 dan 51 tahun dilihat berpotensi untuk diketengahkan sekali gus bakal memberi aura lebih segar kepada kepemimpinan negara.

Lebih berpengalaman dan mengikut hierarki parti, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berusia 65 tahun juga antara boleh diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.

Di dalam Bersatu sendiri juga masih ramai pemimpin lebih muda boleh diketengahkan, antaranya seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berusia 68 tahun dan begitu juga, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, 61, antara yang boleh diketengahkan.

Abdul Hadi berusia 77 tahun yang cukup berpengalaman serta berjaya membawa Pas menjadi parti paling kuat di negara ini juga telah menolak secara terbuka sebagai calon Perdana Menteri kerana sedar, faktor usia dan kesihatan tidak melayakkannya memegang jawatan itu. 

Mesej Abdul Hadi itu perlu dicerna sebaiknya oleh semua pihak termasuk rakan sekutu PN iaitu Bersatu yang masih mempertaruhkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN