IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menunaikan janji apabila menyalurkan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 miliknya kepada golongan yang memerlukan.
Selain menepati janjinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang itu turut membawa 28 orang anak yatim dari sebuah rumah kebajikan di Ipoh untuk membeli barangan keperluan dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh beliau.
“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan SARA, saya adalah menteri pertama yang beritahu untuk dermakan bantuan itu kepada anak yatim.
“Hari ini janji ditepati apabila saya membawa 28 anak yatim ke 99 Speedmart untuk membeli barang keperluan dan kos ditanggung saya sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani, di sini hari ini.
Menurut Kor Ming, inisiatif SARA merupakan dasar utama Kerajaan Madani yang bertujuan meringankan beban kewangan kos sara hidup
rakyat.
“Bantuan ini boleh digunakan sehingga 31 Disember tahun ini. Saya menyeru orang ramai memanfaatkannya dalam tempoh tiga bulan ini.
“Bagi mereka yang merasakan bantuan ini tidak begitu diperlukan, saya galakkan mereka untuk beli barangan harian dan menyumbangkan kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut sangat membantu kerana setiap rakyat menerima bantuan secara langsung terutama bagi keluarga besar dalam menampung kos perbelanjaan harian.
“Bayangkan dalam sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan lima anak menerima sehingga RM700, jumlah itu mencukupi untuk membeli barangan runcit bagi kegunaan sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut berkongsi data Kementerian Kewangan bahawa dalam tempoh empat hari pelaksanaan SARA, lebih 6.6 juta penerima telah membelanjakan sejumlah RM425.2 juta.
“Pada 4 September sahaja, seramai 1.8 juta rakyat Malaysia menggunakan bantuan tunai itu dengan perbelanjaan sebanyak RM117.1 juta
“Ini secara langsung memberi manfaat kepada kedai runcit serta golongan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN