Menang dua trofi AIM24, Ryenald Guntabid mahu diri lebih dikenali ramai - Utusan Malaysia

Menang dua trofi AIM24, Ryenald Guntabid mahu diri lebih dikenali ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Penyanyi baharu industri muzik tanah air, Ryenald Guntabid membuktikan tuah berpihak kepadanya apabila berjaya membawa pulang dua trofi pada penampilan sulung di Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 yang berlangsung di Arena of Stars, semalam.

Lebih manis, anak jati Kota Kinabalu, Sabah berusia 29 tahun itu menewaskan barisan penyanyi ternama apabila diumumkan pemenang Vokal Lelaki Terbaik menerusi single Lumangad Oku Dika.

Antara nama besar yang ditewaskannya ialah Akim Ahmad (Saksama), Amir Masdi (Sengaja), Hafiz Suip (Terus Bersinar) dan Hazama (Medonan).

Tidak sekadar itu, Ryenald turut membuktikan bakat luar biasanya apabila meraih trofi Artis Baru Terbaik, menewaskan pencabar lain iaitu Erika Foo, Intan Maya, Koi dan Xone.

Menurut Ryenald, kemenangan tersebut langsung tidak diduga kerana menganggap dirinya masih terlalu baharu dalam gelanggang seni.

“Sejujurnya saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh terpilih, tetapi saya anggap ia rezeki yang tidak mampu saya tolak.

“Berada sebaris dengan penyanyi yang saya anggap senior sudah cukup membanggakan. Trofi ini saya hadiahkan juga buat mereka kerana daripada merekalah saya banyak belajar,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Ryenald berkata, kemenangan berganda itu menjadi suntikan semangat untuknya terus berkarya dengan lebih serius dan menghasilkan muzik berkualiti tinggi.

“Saya harap pencapaian ini dapat membuka ruang lebih luas untuk orang mengenali diri serta karya saya.

“Sejak kecil, menyanyi dan berkarya adalah impian saya. Jadi apabila ada yang mahu mengenali, bergambar dan menyokong, ia satu penghargaan buat saya.

“Inilah motivasi untuk saya terus menghasilkan lebih banyak karya pada masa depan,” jelasnya yang sudah enam tahun aktif dalam bidang nyanyian,”ujarnya.

Sebagai pemenang Artis Baru Terbaik, Ryenald turut menerima hadiah wang tunai RM50,000 melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN