MELAKA: Melaka akan merangka dasar dan terus memperkenalkan inisiatif selaras dengan prinsip Dasar Pelancongan Negara 2020- 2030 bertujuan bagi memastikan negeri itu kekal relevan dan kompetitif dalam pelancongan serantau serta antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau tidak mahu Melaka sekadar menjadi penyumbang kecil dalam agenda pelancongan negara sebaliknya mahu menjadi negeri contoh yang menjadi penanda aras kecemerlangan pelancongan di Malaysia.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan menjadi indikator yang menyakinkan buat penggiat industri untuk terus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.
Katanya, sehingga Ogos lalu Melaka berjaya menarik kehadiran lebih 11 juta pengunjung dengan kutipan hasil mencecah RM12.05 bilion.
“Saya yakin, dari bumi bersejarah ini akan lahir inspirasi baharu yang mampu mengubah persepsi dunia terhadap Malaysia dan Melaka bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah negara yang kaya dengan jiwa dan warisan.
“Bila kita sebut sahaja nama Melaka, walaupun negeri ini kecil namun ia umpama bila dilipat sebesar kuku, tetapi kalau dibentang sejarahnya selebar alam.
“Melaka pastinya terus melakar sejarah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia melalui pelbagai kejayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Visit Malaysia Travel Meet 2025 (VMTM2025) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P. Manoharan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Ab. Rauf berkata, penganjuran VMTM adalah bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang bermula esok bertujuan memperkasakan inisiatif berskala besar untuk mempromosikan pelancongan domestik.
Beliau berkata, ia adalah sebuah pameran pelancongan yang menawarkan dua segmen utama iaitu sesi perniagaan ke perniagaan melibatkan penggiat industri dan syarikat korporat serta sesi perniagaan kepada pengguna ang terbuka kepada orang ramai.
“Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan merangkumi aktiviti pengembaraan seperti sukan air, alam semula jadi, taman tema dan pengalaman budaya,” ujarnya.
Selain itu katanya, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis, tarian kebudayaan serta aktiviti cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti interaktif kraf, seni, budaya dan makanan warisan. – UTUSAN











