ROMPIN: Seorang pemancing yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot di Sungai Kampung Kedaik Lama, dekat Muadzam Shah, di sini, semalam ditemukan lemas oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR), pagi ini.
Mayat mangsa, Saharudin Harun, 44, yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, kira-kira pukul 11.25 pagi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, operasi hari kedua hari ini membabitkan pencarian di permukaan. selain selaman turut dilakukan di sekitar lokasi mangsa terjatuh kira-kira pukul 11 pagi.
“Mayat mangsa ditemukan hanyut oleh pasukan SAR yang membuat pencarian di permukaan pada pukul 11.25 pagi, kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. Mayat mangsa kemudian dibawa ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN