Ini pun satu hal juga. Cik Bunga ada diberitahu oleh rakan-rakan industri seni, yang ada bertemu dengan pelakon berdarah keturunan Siam ini. Siapa lagi kalau bukan Mawar Rashid.
Lama juga tidak ketemu dengannya. Namun, cerita rakan-rakan industri, Mawar nampak pelik juga sekarang. Tidak macam dahulu yang lebih ceria.
Cik Bunga persoalkanlah dakwaan sumber itu. Iyalah, apa yang tidak macam dulunya?
“Tak akanlah Cik Bunga tidak tahu? Mawar itu sejak bercerai, dia alami kebimbangan melampau atau anxiety yang agak teruk juga. Sampaikan orang mahu temu bual dia pun jadi payah.
“Sebab dia tidak mahu, kerana anxiety katanya,”kata sumber ketika bertemu Cik Bunga di suatu petang.
Tak tahu hendak cakap bagaimana, Cik Bunga jadi simpati dan kasihan pula dengan pelakon ini. Terus-terang, setahu Cik Bunga, Mawar tidak begitu dahulu.
Dia seorang yang peramah, ceria dan suka buat lawak dengan slang ala Kelantan-Siamnya itu.
Kalau betul dia banyak murung dan tidak gembira sekarang, kasihanlah. Seakan dia telah hilang jadi diri sendiri.
Bimbang juga jika tidak diselamatkan dari awal. Takut lama kelamaan, kemurungan yang dialaminya itu akan memakan diri. Sayanglah sebab Mawar bukan tiada bakat.
Dia pun bagus kalau berlakon. Paling penting, dia mesti kena kuat juga demi anak-anak.
Cik Bunga harap Mawar terus tabah dan kuat dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai ibu tunggal.
Cik Bunga tahu bukan senang, tetapi harapnya Mawar tidak mudah putus asa dan gagah demi anak-anak.