‘Masalah kita, sibuk mahu jadi Korea, Hollywood’ - Utusan Malaysia

‘Masalah kita, sibuk mahu jadi Korea, Hollywood’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH alah bisa tegal biasa sepanjang mencari sesuap nasi sebagai anak seni sejak 2007, Zizan Razak menyaksikan sendiri perubahan yang berlaku terutamanya dalam perkembangan sinema Malaysia.


Zizan atau Mohd. Razizan Abdul Razak, 41, bangga melihat kualiti plot serta sentuhan sinematografi yang semakin berkembang terutama bagi genre filem aksi.

Malah ini kali pertama Malaysia mengiktiraf sumbangan pelakon aksi dengan memperkenalkan kategori baru, Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) bermula tahun ini.

“Saya lihat kualiti filem aksi di Malaysia sudah banyak berubah. Baik dari sudut sinematografi mahupun dialog yang kini lebih meyakinkan. Dahulu, bila sebut sahaja tentang filem aksi, ramai yang tidak yakin,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagi Zizan yang memulakan kerjaya sebagai pelawak berkata, kualiti filem aksi di Malaysia mula perlahan-lahan membina keyakinan kepada penonton lebih kurang sedekad lalu menerusi produksi
francais Polis Evo.

“Terus terang saya cakap, 10 tahun lepas waktu produksi kata nak buat Polis Evo, saya sendiri pun ragu. Mampukah kita buat cerita aksi dengan skala yang besar?

“Kita pernah buat KL Gengster sebelum itu, adakah kita akan buat filem sebegitu?,” katanya.

Namun segalanya berubah apabila Polis Evo ditayangkan di pawagam. Sambutan luar biasa bukan sahaja daripada penonton tempatan, malah penggiat seni sendiri membuka mata terhadap potensi sebenar filem aksi tempatan.

“Saya sendiri terkejut dengan hasil akhir Polis Evo. Ia bukan sekadar filem aksi biasa, tapi satu lonjakan besar buat industri kita.

“Lepas itu, kita lihat lebih banyak filem yang mengetengahkan tema badan beruniform mula muncul. Itu yang kita mahukan,” tambahnya.

Menurut Zizan, impak ini tidak hanya terjadi kepada pengusaha filem aksi malah industri juga semakin matang terutama ketika menampilkan visual yang kuat.

“Kita boleh lihat sekarang, walaupun filem itu bergenre seram atau drama, mereka tetap bijak mengatur pergerakan kamera, pemilihan warna dan penggunaan lensa. Sinematografi kita sudah ke depan,” katanya.

Bagi Zizan, Polis Evo adalah titik permulaan yang penting. Ia menjadi kayu ukur kepada kemampuan industri kita untuk menyaingi produk luar.

“Saya percaya banyak lagi yang kita boleh teroka dalam filem. Cuma masalah kita, kita terlalu sibuk nak jadi Korea, nak jadi Hollywood.

“Sedangkan negara-negara lain seperti Thailand, India (Telugu dan Bollywood), serta Hong Kong sudah lama memperkenalkan budaya mereka ke dunia,” katanya.

Pelawak Lelaki Paling Popular, Anugerah Bintang Popular ini juga turut berkongsi pengalaman dilamar berlakon oleh produksi luar negara kerana lakonannya.

“Mereka panggil saya untuk satu projek yang bergandingan dengan Reza Rahadian. Katanya mereka tahu tentang saya menerusi lakonan dalam Cicakman dan Polis Evo. Mereka siap tunjuk DVD filem tu depan saya.

“Mereka puji Polis Evo kerana katanya ada identiti tersendiri. Paling mereka suka, walaupun penuh adegan tembak-menembak, ada satu babak di mana watak-watak dalam filem itu makan dan baca doa berjemaah.

“Itu yang mereka kata kita tak nampak, tapi mereka nampak,” katanya.

Walaupun projek itu akhirnya ditunda, Zizan menganggap peluang itu sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian filem tempatan.

Menurut Zizan, filem kita perlu meneroka keunikan budaya dan nilai tradisional tempatan kita. Ada banyak potensi besar terutama jika ia diperkenalkan kepada penonton antarabangsa.

“Kita kena mula berani cerita siapa kita. Benda-benda macam makan pakai tangan, atau elemen budaya seperti wayang kulit. Itu yang kita kena tonjolkan

“Kita terlalu sibuk nak kelihatan macam orang luar. Nak perang rambut, nak ikut fesyen sana sini. Tapi kita lupa banyak ‘barang’ yang kita ada sendiri yang boleh buat orang kagum,” katanya.

Zizan menegaskan bahawa sudah tiba masanya filem tempatan benar-benar menjejak kaki ke pentas antarabangsa dengan acuan dan identiti sendiri, bukan hanya sekadar meniru bentuk luar.

“Saya tetap percaya, kita ada banyak cerita yang belum diceritakan. Banyak budaya yang belum diteroka. Apa yang penting adalah bagaimana kita persembahkan semuanya itu dalam karya yang jujur dan berkualiti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN