PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) kembali menghantar pelajar ke Mesir untuk melanjutkan pengajian bidang perubatan dan pergigian dengan penjimatan besar.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tahun ini turut mencatat sejarah baharu apabila Mara kembali menghantar pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar, Mesir setelah kali terakhir pada 2013 manakala pelajar dalam bidang pergigian kali terakhir dihantar pada 2019.
“Penghantaran semula ini adalah selari dengan dasar kerajaan untuk memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang kritikal dengan kos yang jauh lebih rendah daripada universiti tempatan.
“Lebih membanggakan, hasil rundingan yang dijalankan awal tahun ini dengan Presiden Universiti Al-Azhar, Mara berjaya memperoleh pengurangan yuran pengajian dimana hanya RM90,000 bagi setiap pelajar dalam bidang perubatan untuk tempoh lima tahun pengajian. Ini adalah satu penjimatan besar demi kelangsungan pendidikan anak bangsa,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, beliau berkesempatan bertemu dengan pelajar-pelajar tajaan Mara yang bakal berlepas ke Mesir dan Korea Selatan dalam Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan Mara bagi sesi 2025 yang berlangsung di Anjung Korporat Mara.
Seramai 42 pelajar akan berangkat ke Mesir manakala 91 pelajar ke Korea Selatan untuk melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang strategik seperti perubatan, pergigian, automasi dan teknologi maklumat.
Menurut Asyraf Wajdi, beliau yakin dengan kesungguhan pelajar tersebut dan berharap mereka kembali menyumbang ke tanah air.
“Melihat kesungguhan, semangat serta cita-cita besar mereka, saya yakin mereka akan menjadi duta kecil negara, menimba ilmu dengan sebaiknya dan insya-Allah akan kembali sebagai tenaga pakar yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.-UTUSAN









