KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir kilat di Bali yang mengorbankan nyawa serta menjejaskan kehidupan penduduk setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang serta mendoakan mereka tabah menghadapi ujian tersebut.
“Saya amat sedih dengan kehilangan nyawa akibat banjir kilat di Bali. Doa dan ingatan saya bersama keluarga yang berduka serta semua yang terjejas dari segi rumah dan mata pencarian,” katanya menerusi posting di laman sosial Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menegaskan sokongan padu terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan seluruh rakyat republik itu.
“Dalam saat yang menyakitkan ini, saya berdiri teguh bersama Presiden Prabowo dan rakyat Indonesia. Malaysia turut berduka bersama anda, dan kami akan terus mendoakan kesejahteraan rakyat Bali sepanjang proses pemulihan bencana ini,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan banjir kilat melanda dua pulau di Indonesia termasuk destinasi tumpuan pelancong Bali, mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang, manakala enam lagi hilang.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata, hujan lebat sejak lewat Selasa mencetuskan banjir di lima daerah Bali serta ibu kota wilayah Denpasar, memaksa pemindahan hampir 200 orang.
Katanya, sembilan orang ditemukan maut di Bali, setakat petang kelmarin, meningkat daripada angka awal dua kematian dengan dua lagi dilaporkan hilang.-UTUSAN










