Malaysia kekal pertama halal global - Utusan Malaysia

Malaysia kekal pertama halal global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia terus membuktikan keunggulannya apabila mengekalkan kedudukan pertambahan dalam State of the Global Islamic Economy Report (SGIE) 2024-2025 buat tahun ke-11 berturut-turut.

Laporan yang menilai tujuh sektor utama ekonomi Islam itu meletakkan Malaysia di kedudukan pertama dalam enam sektor, kecuali fesyen sederhana yang berada di tangga kedua.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr. Sharifudin bin Md Shaarani berkata, pencapaian itu membuktikan ekosistem halal negara bukan sahaja kukuh, malah berdaya saing tinggi di peringkat antarabangsa.

“Berpaksikan syariah, halal kini berkembang menjadi kuasa ekonomi global bernilai trilion dolar.

“Malaysia muncul sebagai peneraju kerana memiliki piawaian pensijilan yang diyakini, ekosistem industri mantap serta sokongan pendidikan dan inovasi,” katanya.

“Langkah kerajaan menetapkan September sebagai Bulan Produk Halal Tahunan dengan penganjuran pelbagai acara berteraskan produk halal turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global,” ujarnya.

Tambah Dr. Sharifudin, sijil dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysi (Jakim) diiktiraf antara paling berwibawa di dunia, manakala piawaian MS1500 menjadi rujukan antarabangsa dalam industri makanan halal.

“Pusat Pembangunan Halal (HDC) pula memainkan peranan penting menyokong Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dan memperluaskan eksport.

“Pelan Induk Industri Halal 2030 dan Dasar Halal Negara 2025–2035 akan memastikan halal dilihat bukan sekadar tuntutan agama, malah sebagai pemacu daya saing ekonomi negara.

“USIM dengan integrasi ilmu Naqli dan Aqli berada dalam kedudukan strategik menangani isu Halal semasa termasuk perdebatan daging kultur,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, penubuhan Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) di USIM menjadi bukti komitmen universiti melahirkan pakar, menjalankan penyelidikan, memberi latihan profesional dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap halal.

“USIM juga menawarkan program akademik khusus seperti Syariah (Industri Halal) dan Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal) bagi melahirkan tenaga profesional berintegriti.

“Dengan sokongan semua pihak, halal bukan sahaja identiti nasional, tetapi nilai sejagat untuk kesejahteraan ummah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN