Majoriti rakyat guna kereta bawah 1,500cc

Majoriti rakyat guna kereta bawah 1,500cc

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia menggunakan kenderaan persendirian bawah 1500cc yang mana jumlah penggunaan petrol rendah dan menjimatkan.

Berdasarkan data pendaftaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 2024 sebanyak 816,742 kenderaan persendirian telah dijual, dan daripada jumlah itu 454,562 buah adalah dari kelas 1,500cc dan ke bawah.

Angka ini mewakili kira-kira 56 peratus daripada keseluruhan kenderaan persendirian yang dijual pada tahun lalu dan ia selari dengan penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mana setiap individu layak menikmati sehingga 300 liter.

Berdasar statistik tersebut, majo­riti rakyat negara ini yang berpendapatan sederhana dan rendah menggunakan kereta buatan tempatan keluaran Pero­dua ataupun Proton di samping beberapa model import seperti Honda dan Toyota yang kapasiti semuanya adala di bawah 1,500cc.

Sehubungan itu kata pakar ekonomi, kuota 300 liter RON95 setiap bulan yang diumumkan oleh kerajaan di bawah program BUDI95 adalah mencukupi untuk menampung keperluan golongan ber­kenaan.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, jumlah itu bersamaan 10 liter sehari yang memboleh kan pemanduan se
jauh 200 hingga 250 kilo meter (km), bergantung jenis kenderaan.

Bagaimanapun kuota itu lebih sesuai untuk kenderaan bawah 2,000 kuasa kuda (CC) ke bawah.

“Kalau bawah 2,000cc tiada masalah, tetapi kalau lebih 2,000cc, 300 liter itu boleh jadi tidak cukup, terutama bagi mereka yang banyak bergerak.

“Kalau untuk perjalanan ulang-alik kerja, 200km sehari itu sudah lebih daripada mencukupi. Saya memandu dari Bangi ke Kuala Lumpur hanya menggunakan sekitar 120 km
sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, sistem itu turut memberi kelebihan kepada keluarga yang mempunyai ramai ahli berlesen.

“Kalau suami isteri dan anak-anak berusia 16 tahun ke atas ada lesen memandu, satu keluarga boleh menikmati sehingga 600 liter sebulan.

Jumlah itu sudah mencukupi untuk menampung keperluan seharian,” katanya.

Kelmarin kerajaan mengumumkan semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi BUDI95 yang berkuat kuasa 30 September ini.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, hasil pemantauannya sendiri menunjukkan kuota tersebut lebih daripada mencukupi bagi kebanyakan isi rumah.

“Sebagai bapa, jadual harian saya padat dengan urusan menghantar anak ke sekolah selain berulang-alik kerja. Namun, sepanjang lima bulan terakhir saya pantau, penggunaan minyak tidak pernah melebihi 300 liter sebulan.

“Bagi kereta 2,000cc, purata penggunaan hanya sekitar 250 liter sebulan, bersamaan kira-kira RM500. Jadi kajian yang menyebut 80 hingga 90 peratus rakyat menggunakan bawah 300 liter sebulan itu memang benar,” jelasnya.

Seorang pengguna, Saifullah Adnan, harga subsidi baharu itu memberi kelegaan kepada dirinya yang perlu berulang hampir 160 kilometer (km) setiap hari dari rumah ke tempat kerja.

Katanya, jarak perjalanan sehala dari rumah di Taman Bunga Matahari di Ayer Tawar, Manjung, Perak ke tempat kerja di Chemor adalah kira-kira 79 kilometer, menjadikan jumlah perjalanan ulang-alik sehari mencecah 158 kilometer.

Dalam tempoh sebulan atau empat minggu, jumlah penggunaan petrolnya mencecah kira-kira 292 liter.

Sementara itu, Pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata BUDI95 menimbulkan persoalan berhubung keberkesanan nya khususnya dalam kalangan pengguna luar bandar.

Katanya, secara asasnya jumlah 300 liter itu dianggap mencukupi untuk pengguna biasa di bandar kerana ia boleh mengisi penuh tangki kenderaan beberapa kali, termasuk model yang dipacu dengan enjin berkapasiti 1,500 cc. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN