SEPANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan jaminan seorang ejen insurans warga tempatan yang berdepan empat pertuduhan memiliki dan menyeludup dua jenis hidupan liar yang dilindungi bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Tertuduh, Balachandran A/L Sreedharan, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyimpan seekor Ungka Tangan Hitam / Agile Gibbon (Hylobates Agilis) dan dua ekor Cuscus (Phalanger spp.).
Kesalahan tersebut boleh dihukum mengikut Seksyen 86(1) yang memperuntukkan denda RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menyeludup kedua-dua jenis haiwan liar tersebut tanpa permit khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 September lalu.
Kesalahan cuba menyeludup seekor Ungka Tangan Hitam itu didakwa di bawah bawah Seksyen 71 Akta 716 dan boleh didenda RM20,000 bagi setiap hidupan liar atau sehingga RM1 juta secara agregat dan penjara maksimum 15 tahun.
Bagi kesalahan menyeludup Cuscus, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 65 Akta 716 yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi setahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Gate C26, KLIA Terminal 1 pada kira-kira pukul 10.10 malam, 26 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Danial Munir manakala tertuduh diwakili Leon Dinesh T. Loganathan.
Danial mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kerana kesalahan serius itu melibatkan hidupan liar dilindungi dan mengikut semua pertuduhan, ia wajib didenda.
Namun begitu, Peguam bela Leon Dinesh memohon jaminan RM6,000 atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap termasuk menyara ibu bapa yang uzur.
Mahkamah kemudian menolak permohonan tersebut dan menetapkan 31 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup hidupan liar hasil kerjasama erat AKPS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Bantuan KLIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – UTUSAN