Lembaga Disiplin perlu bertindak, elak integriti Bersatu terjejas 

‘Lembaga Disiplin perlu bertindak, elak integriti Bersatu terjejas’ 

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu segera melaksanakan prosiding terhadap aduan pelanggaran disiplin membabitkan beberapa pemimpin parti berkenaan bagi mengelak integritinya terjejas.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, prosiding itu perlu dijalankan secara telus, adil dan berpandukan peraturan sedia ada bagi memastikan parti kekal kukuh dan dihormati.

Katanya, kelewatan atau kelonggaran menangani isu berkenaan hanya menjejaskan integriti parti itu di mata ahli serta rakyat.

“Tindakan tegas dan pantas sangat penting bagi memastikan parti kekal berwibawa. Kita tidak boleh membiarkan sebarang pelanggaran disiplin mencalar reputasi parti,” katanya hari ini.

Razali turut mengecam tindakan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan terbuka dalam media sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kepemimpinan parti berkenaan.

“Sebarang rasa tidak puas hati atau pembelaan diri mestilah dikemukakan melalui saluran yang betul iaitu prosiding di hadapan Lembaga Disiplin, bukannya sidang media atau kenyataan terbuka yang melemahkan imej parti,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak layak kekal sebagai Setiausaha Agung Bersatu selagi isu video tular yang dikaitkan dengannya pada 2019 belum diselesaikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN